Artikel Pilihan

e-SCOOTER & e-BIKE – SOHOR KINI ANAK MUDA DI SINGAPURA

Beberapa minggu sudah Brader Karrager berpeluang untuk memandu masuk ke Singapura untuk menziarahi setelah agak lama tidak berkunjung ke sana. Ada sesuatu yang menarik perhatian Brader Karrager sewaktu melihatkan senario lalulintas di sana terutamanya membabitkan golongan anak muda.

Rupanya penggunaan e-Scooter / e-Bike tengah sohor kini di bumi Temasek. Brader Karrager memandu daripada meliputi kawasan Tuas, Yishun, Sembawang, Woodlands, sehinggalah ke Geylang Serai. Boleh dikatakan disetiap perhentian lampu isyarat, akan melintaslah para penunggang agama. Eh silap. Penunggang e-Bike ini.

Dan yang paling menarik, apabila Abang dan Kakak GrabFood / Foodpanda turut menggunakan e-Scooter / e-Bike ini sebagai medium pengangkutan bagi mencari rezeki berbanding penggunaan motosikal terutamanya membabitkan kawasan perjiranan setempat. Sewaktu Brader Karrager mengunjungi North Point City yang terletak di Yishun, bukan main bersepah lagi geng GrabFood / Foodpanda yang melepak bersama sambil menunggu pesanan siap disediakan.

Sebetulnya, kelebihan menggunakan e-Scooter / e-Bike ataupun istilah yang digunapakai di sana; PMD (Personal Mobility Device) banyak kelebihannya berbanding penggunaan motosikal. Harus barang diingat, setiap motosikal yang ingin memasuki kawasan perumahan flat, harus membayar caj parkir. Tapi kalau menggunakan PMD ini, sudah tentu boleh main selit – selit dan tidak perlu pun nak membayar caj parkir. Nak usung naik MRT pun tiada masalah asalkan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Cuma limitasinya banyak bergantung kepada lokasi kejiranan sahaja. Nak pergi jauh – jauh bimbang bateri habis pula mana tah nak cucuk PowerBank kan.

Tapi tahukah pembaca semua, kesemua pemilik PMD ini harus mendaftarkannya dengan LTA (Land Transport Authority). Bila wajib daftar, maka sudah tentu penggunaan PMD ini turut mempunyai beberapa regulasi yang perlu dipatuhi. Diantaranya PMD yang hendak dibeli daripada kedai seharusnya mempunyai patuh LTA. Selain itu, harus ambil maklum juga kelajuan maksimum yang dibenarkan untuk setiap PMD ini tidak melebihi 25 km/j. Tapi Brader Karrager tengok itu hari boleh tahan laju juga.

Berdasarkan carian di laman web di sana, untuk sebuah e-Scooter yang senonoh rupanya ini boleh dibeli serendah $699 (RM2,128) sahaja. Rupanya pun cukup kompak. Punya tempat duduk dan perehat kaki. Cuma janganlah suruh Brader Karrager yang tunggang. Memang tunggang langgang jadinya nanti.

Khabarnya sejumlah 90,000 unit PMD ini telah didaftarkan meliputi pelbagai model. Itu yang telah didaftarkan. Yang pakai secara haram pun masih ada juga sebenarnya walaupun Singapura ini dikenali dengan cukup tegas dengan penguatkuasaan undang – undangnya. Namun khabarnya bermula tahun hadapan undang – undang akan lebih ketat akan diperkenalkan. Bimbang berlaku kemalangan membabitkan pejalan kaki. Maklumlah, kadang kala mereka berkongsi laluan juga kan.

BACA : DUCATI BERKUASA ELEKTRIK DAN MEMPUNYAI PEDAL – BIAR BETUL

BACA : MOTOSIKAL ELEKTRIK SHANGHAI LIMA POLAR

Google ads
Back to top button