Artikel Pilihan

BEREHATLAH DENGAN TENANG YUTAKA SAN: (1909 – 2015)

Rasanya kita ubah sikit sudut bacaan dengan mengenali personaliti automotif pula. Tapi belum masa lagi kami nak cover artis bergambar di atas kereta atau motor lah.

Yukata-Katayama-Nissan-Fairlady-Z-mekanika (8)

Jadi kita mulakan dengan Katayama San. Individu yang sangat berpengaruh dalam era kebangkitan sektor automotif Jepun. Tahun lepas merupakan tahun kehilangan besar dalam sejarah industri abad ini.

Yukata Katayama lebih dikenali dengan gelaran Mr. K. Mungkin anda tak kenal siapa dia, tapi pasti anda kenal dengan hasil karyanya – Nissan Fairlady Z.

Walaupun tidak sepopular Skyline atau Silvia di pasaran Malaysia, model Z ialah satu model kereta yang sangat penting untuk Nissan. Malah untuk pembuat kereta lain di Jepun.

Yukata-Katayama-Nissan-Fairlady-Z-mekanika (2)

Sebabnya, model ini buat pertama kali membuka peluang pengeluar kereta Jepun memasarkan kereta sports mereka di Amerika Syarikat (AS) – sebuah negara yang amat menggemari kereta sports.

Mr. K dilahirkan pada 15 September 1909 di Tamura, daerah Shizuoka (yang kini dikenali dengan nama Haruno). Semasa usia remaja, beliau bekerja sebagai pembantu kapal dagang yang membawa sutera dari Jepun ke Seattle, AS.

Pada penghujung tahun 1920-an, beliau menjejakkan kaki buat pertama kali di AS. Ketika berada di sana, Mr. K mula mengagumi negara tersebut dan merasa takjub dengan jumlah kenderaan yang ada berbanding di negara asalnya.

Yukata-Katayama-Nissan-Fairlady-Z-mekanika (6)

Selepas pulang ke Jepun, beliau mendaftar masuk ke Universiti Keio dan bertekad menjadi seorang jurutera automotif. Selepas berjaya menamatkan pengajian, beliau bekerja dengan Nissan Motor (dahulu Datsun) pada tahun 1935 di bahagian pemasaran dan pengiklanan.

Beliau melihat sebuah kereta lebih daripada sebuah mesin. Sebaliknya sebagai satu titik tengah satu gaya hidup yang baru dan berpaksikan permotoran. Idealisme inilah yang menjadi cara pemasaran kereta Datsun ketika itu.

Yukata-Katayama-Nissan-Fairlady-Z-mekanika (11)

Gaya hidup baru ini diterjemahkan oleh Mr. K sendiri pada tahun 1937 apabila beliau mendirikan rumah tangga dengan Masako Katayama (nama Katayama sebenarnya diambil dari nama akhir isteri beliau). Beliau kemudian membeli model roadster Datsun Type 15 yang digunakan semasa mereka berbulan madu di sekitar Tasik Kawaguchiko, berhampiran Gunung Fuji.

Pada mulanya, idealisme Mr. K tidak diterima oleh pegawai-pegawai tertinggi di Nissan. Beliau amat berminat untuk menghasilkan kereta sports ringan yang mampu dimiliki oleh rakyat biasa di Jepun.

Projek terawal beliau ialah dengan menghasilkan model Flying Feather, percubaan awalnya untuk menghasilkan kereta sports untuk rakyat biasa. Dari model prototaip ini, akhirnya Nissan menghasilkan kereta sports mereka yang pertama pada tahun 1952 iaitu Datsun DC-3 roadster.

Yukata-Katayama-Nissan-Fairlady-Z-mekanika (9)

Di masa yang sama, Mr. K juga telah mengasaskan Kelab Sports Car di Jepun. Satu perkara yang mungkin tak ramai orang tahu ialah Mr. K juga bertanggungjawab mengadakan pameran All-Japan Motor Show pada tahun 1954, acara yang akhirnya menjadi Tokyo Motor Show yang kini menjadi salah-satu acara permotoran terbesar di dunia.

Tetapi kejayaan terbesar beliau ialah mempengaruhi Nissan menyertai kejohanan perlumbaan antarabangsa yang mendapat banyak tentangan daripada pihak pengurusan tertinggi Nissan.

Mr. K bagaimanapun meneruskan niatnya dengan menyertai perlumbaan Mobilgas Trial pada tahun 1958 dengan dua buah kereta Datsun 210 sedan. Perlumbaan ini mengambil masa 19 hari melalui jalan yang kasar dan tak berturap di Australia. Daripada 67 kereta yang bertanding, hanya 36 kereta yang berjaya menamatkan kejohanan, dan kereta Datsun berjaya mendapat tempat pertama dan keempat di dalam kelasnya!

Yukata-Katayama-Nissan-Fairlady-Z-mekanika (1)

Pada tahun 1960, Mr. K diberi tanggungjawab untuk mengetuai operasi Nissan di pantai barat AS. Akhirnya kembali kepada negara yang dikaguminya, Mr. K kini berjaya untuk merealisasikan impiannya.

Di sana, beliau berjaya memupuk minat yang tinggi kepada jenama Datsun melalui sukan pemotoran. Beliau membantu pasukan perlumbaan yang baru nak bertapak dengan memberi mereka kereta keluaran Datsun seperti model Datsun Roadster, Datsun 510 dan pelbagai model lagi. Di sinilah bermulanya minat rakyat Amerika, satu negara yang amat penting dari segi pasaran kereta, dengan jenama Datsun/Nissan.

Mr. K merasakan AS memerlukan sebuah kereta sports 2 pintu yang berkuasa tinggi. Maka lahirlah model Datsun 240Z. Model Z mengubah landskap pemotoran bukan saja di Jepun dan AS, malah di seluruh dunia di mana model ini menjadi model kereta sports terlaris sepanjang zaman. Atas usaha inilah, Mr. K diberikan gelaran ‘Bapa kereta Z’.

Yukata-Katayama-Nissan-Fairlady-Z-mekanika (7)

Pada tahun 1998, Mr. K diinduksi ke dalam ‘Automotive Hall of Fame’ di Dearborn, Michigan di atas jasanya di dalam industri permotoran dunia. 10 tahun kemudian, beliau dinamakan ke dalam ‘Japan Automotive Hall of Fame’.

Bagaimanapun, kejayaan terbesar beliau ialah menghubungkan jutaan peminat kereta Nissan di seluruh dunia melalui keperibadiannya. Walaupun telah bersara dari Nissan sejak tahun 1977, beliau sangat aktif menyertai apa jua acara anjuran Nissan untuk bertemu peminatnya.

Yukata-Katayama-Nissan-Fairlady-Z-mekanika (10)

Kata-kata yang sering dicoretkan pada autografnya ialah ‘Love Cars! Love People! Love Life! – ayat yang mencoretkan perjalanan hidup seorang ikon permotoran yang tidak ada tolok bandingnya. RIP Mr. K!

Kredit gambar: www.nissan-global.com

Google ads
Back to top button