Motosikal

MANGSA KEMALANGAN MAUT MUNGKIN TERLIBAT DALAM LUMBA HARAM – POLIS

Kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, menghala ke pusat bandar George Town, Pulau Pinang pagi semalam disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sophian Santong berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut telah menerima maklumat awam mengenai kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal kira-kira pukul 4.30 pagi.

Setakat ini, tujuh mangsa telah dikenal pasti terlibat dalam kemalangan terbabit dengan tiga maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Tiga lagi mangsa masih menerima rawatan di HPP iaitu seorang lelaki masih berada di Zon Merah, manakala dua lagi dirawat di Zon Kuning.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku lebih kurang pukul 4 pagi itu melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti ‘lumba haram’. Semasa di lokasi kejadian dipercayai beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

“Dalam kejadian tersebut, dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memberitahu bahawa sebelum kejadian berlaku, PDRM daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut telah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram tersebut.

“Perancangan untuk menangkap individu-individu yang terlibat dalam lumba haram tersebut juga telah diatur. Sesungguhnya perancangan Allah SWT mendahului segala perancangan.

“Pihak PDRM menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram. Ini bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button