Artikel Pilihan

BETUL KE ADA MERCEDES GUNA ENJIN RENAULT?

Bunyi seperti agak mengelirukan, tetapi memang betul terdapat beberapa model Mercedes yang dijual kepada pembeli sebenarnya menggunakan enjin buatan Renault. Enjin ini menerima pelbagai ulasan samaada positif dan juga negatif, serta digunakan oleh pelbagai model Mercedes.

Kebanyakan enjin yang dihasilkan oleh Renault merupakan enjin yang dibangunkan secara kerjasama dengan Mercedes, merangkumi enjin bersesaran kecil seperti 1300cc petrol, 1500cc diesel dan juga 1600cc diesel. Antara enjin yang dibangunkan bersama-sama antara Renault dan Mercedes termasuklah:

1. M282 – merupakan enjin 4 silinder 1332cc 16 injap turbo, menggunakan mekanisme DOHC, Continuous Variable Valve Timing Control System (CVVTCS), serta suntikan bahan api terus pada enjin. Dari segi saiz, diameter silinder adalah 72.2mm dan lejang adalah 81.4mm manakala nisbah mampatan enjin ialah 10.6:1.

Enjin ini juga dipasang dengan teknologi yang berupaya menyahaktifkan 2 silinder (silinder 2 dan 3) sekiranya kuasa maksimum tidak diperlukan dalam usaha mengurangkan pelepasan asap dan menjimatkan bahan api.

Ia boleh dihasilkan dalam pelbagai varian kuasa seperti 107 kuasa kuda & 180Nm tork, 134 kuasa kuda dan 200Nm tork, serta varian paling berkuasa ialah 161 kuasa kuda dan 250Nm tork. Kuasa yang dihasilkan boleh dikatakan pelbagai dengan menggunakan rekaan blok dan kepala silinder aluminium

2. OM608 – merujuk kepada enjin 1461cc turbodiesel 4 silinder yang dibangunkan secara bersama antara Mercedes dan juga Renault. Namun ia hanya menggunakan mekanisme pacuan injap SOHC dengan setiap silinder menggunakan 2 injap sahaja.

Dari segi saiz, diameter silinder adalah 76mm dan saiz lejang pula ialah 80.5mm. Berbeza dengan enjin petrol, blok enjin dihasilkan dengan menggunakan besi tuang (iron cast) dan hanya kepala silinder menggunakan aluminium.

Namun dengan sistem turbo yang dibekalkan oleh Garret dan nisbah mampatan 15.1:1, ia berupaya menjana kuasa minima 95 kuasa kuda dan varian tertinggi berupaya menghasilkan sekitar 114 kuasa kuda dan 260Nm tork seawal 1750 RPM. Ada juga varian yang lebih berkuasa berupaya menghamburkan 136 kuasa kuda dan 300Nm tork.

Kami senaraikan model-model Mercedes yang menggunakan enjin Renault dalam kenderaan mereka.

1. A-Class – A 160, A 160 CDI, A 160 d, A 180, A 180 CDI, A 180 d, A 200, A 220e, A 250e

2. B-Class – B 160, B 160 CDI, B160 D, B 180, B 180 CDI, B 180 D, B 200, B 250e

3. CLA-Class – CLA 180 (d), CLA 200, dan CLA 250e

4. C-Class – C 180 d dan C 200 d

5. SUV Kompak GLA-Class – GLA 180 d dan GLA 200

6. SUV Kompak GLB-Class – GLB 180 d dan GLB 200

7. Van komersial Citan – 108 CDI, 109 CDI, 110 (CDI), 111 CDI, 112 CDI, dan 113 CDI

8. Van penumpang Vito – 109 CDI dan 111 CDI

Sesetengah daripada enjin yang digunakan oleh Mercedes sebenarnya dihasilkan sendiri oleh Mercedes di kilang mereka, manakala ada beberapa siri enjin yang diambil terus daripada kilang Renault. Penggunaan enjin Renault pada model Mercedes ini bermula semenjak dari tahun 2010 lagi, apabila Daimler menandatangani perjanjian strategik dengan Renault.

MoU ini meliputi pengambilalihan saham strategik oleh Daimler dalam Renault sebanyak 3.1% dan saham Nissan sebanyak 3.1%. Sebagai timbal balas pakatan Renault-Nissan juga berjaya memperolehi saham dalam Daimler sebanyak 3.1%

Perjanjian strategik ini membenarkan pembangunan bersama enjin bersaiz kecil samaada petrol ataupun diesel untuk digunakan oleh kedua dua entiti seperti enjin Mercedes OM607, OM608, OM622 dan M282

.

Google ads
Back to top button