BEZOS TAWAR DANA RM8 BILION KEPADA NASA. NAK SAILANG ELON MUSK KE?
Pengasas Amazon, Jeff Bezos menawarkan dana bagi membantu Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) membina kenderaan yang mendarat di bulan.
Menurut laporan BBC, Bezos menawarkan sebanyak AS$2 bilion (RM8.45 bilion) untuk menanggung kos NASA agar dapat dipertimbangkan semula kontrak pembinaan kapal angkasa pendaratan lunar.
April lalu, agensi angkasa lepas itu memberi kontrak bernilai AS$2.9 bilion (RM12.26 bilion) kepada SpaceX yang dikemudi Elon Musk sekali gus menolak tawaran dari syarikat Blue Origin milik Bezos.
Kontrak berkenaan bagi membina kapal angkasa pendaratan yang akan membawa angkasawan NASA ke permukaan bulan seawal tahun 2024.
NASA hanya boleh memberi kontrak tersebut kepada satu daripada syarikat tersebut disebabkan kekurangan dana.
Agensi angkasa lepas itu hanya menerima sebanyak AS$850 juta (RM3.5 bilion) daripada AS$3.3 bilion (RM13.95 bilion) dana yang diminta dari Kongres untuk pembinaan kenderaan mendarat di bulan.
Bezos menerusi satu surat kepada Pentadbir NASA, Bill Nelson memaklumkan mengenai tawaran dana itu untuk membantu agensi angkasa lepas tersebut.
“Blue Origin akan menampung kekurangan dana bagi pembinaan Sistem Pendaratan Manusia (HLS) dengan mengecualikan semua pembayaran semasa dan dua tahun fiskal kerajaan berikutnya,” katanya.
Sebelum ini, Ketua bahagian penerokaan manusia di NASA, Kathy Lueders mengakui bajet semasa agensi angkasa lepas menghalangnya daripada memilih dua syarikat berkenaan.
Blue Origin sebelum ini mereka bentuk kenderaan pendaratan bulan yang dinamakan sebagai Blue Moon dan dilaporkan hampir serupa dengan versi tambah baik modul lunar yang membawa angkasawan Neil Amstrong dan Buzz Aldrin ke permukaan bulan pada 1969. – BBC/UTUSAN
- BACA: PEMBIDA MISTERI BAYAR RM115 JUTA MENGEMBARA KE ANGKASA BERSAMA JEFF BEZOS
- BACA: BOS TESLA TERKAYA DI DUNIA. NILAI KEKAYAAN HAMPIR RM750 BILION!!!
- BACA: SIAPA HASILKAN TEKNOLOGI KAWAL KARBON TERBAIK. RM400 JUTA MENANTI ANDA- BOS TESLA
- BACA: INILAH KERETA-KERETA PILIHAN BILLIONAIR TERKENAL DI DUNIA