Artikel Pilihan

VOLVO 780 – COUPE BUATAN ITALI

Sekali tengok macam kereta Volvo. Tapi apa pasal saiznya macam tak berapa nak ngam? Bukan Volvo ni bangsa kalau buat kereta jenis bagak ke? Usah keliru, benar ini adalah Volvo 780. Namun ada kisah menarik disebalik pembuatannya. Barangkali pembaca perasan, Ini adalah model klasik Volvo ketiga yang Brader Karrager kongsikan. Usah ditanya. Cumanya sesekali barang lama ini dikenang semula sedap juga, iya tak?

Baiklah, Volvo 780 ini sebetulnya adalah dalam model keluarga Siri 700 yang terkenal dengan rekabentuk kekotaknya di era 80an. Dua buah model, Volvo 760 dan Volvo 740 memang senantiasa menjadi buah mulut masyarakat di zaman itu. Maklumlah, kereta untuk golongan have – have katanya.

Tapi entah macam mana, boleh pula timbul idea untuk mengeluarkan sebuah lagi model yang lebih kecil dan sedikit sporty dalam Siri 700 ini. Maka terhasillah Coupe Volvo 780. Debut pertamanya di Geneva Motor Show pada tahun 1985. Menariknya, ini adalah Coupe kedua yang telah dihasilkan Volvo sesudah model Volvo 262C.

Volvo 780 ini sebetulnya direka dan dibuat oleh firma Itali, Bertone di Turin. Sejenis kahwin campur antara bangsa Sweden dan juga Itali. Firma yang sama bertanggungjawab sebenarnya sewaktu membina dan mereka model Volvo 262C. Untuk muncul sebagai sebuah Coupe, maka beberapa bahagian seperti garisan bumbung dan hud hadapan serta bonet telah dikecilkan sedikit saiznya berbanding model dalam keluarga Siri 700. Malah saiz grilnya juga tidaklah sebesar papan karom. Tapi cuba perhatikan wiper pada lampu utama. Yang ini memang lejen.

Tapikan Brader Karrager rasa, sebetulnya sang pereka Bertone ini tidaklah berniat untuk mengeluarkan model Coupe sepenuh. Sebabnya kalau diperhatikan pillar C tidak masih kelihatan seperti sedan. Hanyalah pemegang pintu belakang sahaja yang dibuang untuk dijadikan model ini sebagai sebuah Coupe. Dan penumpang belakang masih mampu dihuni oleh penumpang bersaiz lelaki Eropah dengan selesa.

Menarik juga tentang Volvo 780 ini, apabila beberapa alat kawalan elektrik seperti tetapan tempat duduk, cermin sisi, dan tidak lupa juga cermin suria. Penggunaan sistem ABS pada model keluaran 80an barangkali boleh dianggap antara benda ajaib. Dan model ini turut dilengkapi dengan sistem ABS. Tidak hairanlah jika kita beranggapan bahawa model Volvo adalah sebuah kenderaan yang selamat.

Ketika hayatnya, model ini didatangkan dengan beberapa pilihan enjin seperti B280F (2.8 liter V6), B230FT (2.3 liter turbo) dan juga B204GT (2.0 liter turbo).

Produksinya tamat pada tahun 1990 dengan hanya sebanyak 8,518 unit sahaja dibina. Tak banyak. Sudah tentu barang rare sebegini diburu oleh pengumpul kereta. Kan?

BACA : VOLVO 480 – SEBUAH LAGI MODEL SPORTY YANG KITA PATUT TAHU

BACA : VOLVO 1800ES – WAGON SPORTY ERA ROLLONG STONES

Google ads
Back to top button