Buletin

BIDAAN NOMBOR PLAT ‘GOLD’ DIBUKA

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bidaan itu akan dibuka mulai Khamis ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sehingga jam 10 malam 5 Februari ini.

“Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50, Pengangkutan melalui JPJ akan menawarkan NPI secara bidaan dalam talian melalui sistem JPJeBid.

“NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks mempunyai prefix siri GOLD, melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50,” katanya.

Loke berkata, harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan, iaitu bermula daripada RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800), dan nombor biasa (RM300).

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida, mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

“Saya berharap bidaan ini dapat menjana pulangan yang tinggi kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, penawaran NPI siri GOLD itu adalah antara usaha kementeriannya untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA.

“Orang awam dialu-alukan untuk menyokong hasrat kerajaan seperti mana insiatif yang dimaklumkan dengan menyertai bidaan NPI melalui sistem JPJeBid.

“Penawaran melalui sistem JPJeBid ini juga adalah antara usaha kementerian dan JPJ dalam merealisasikan penyampaian perkhidmatan pendigitalan sepenuhnya,” katanya.

Untuk rekod, JPJ menerusi bidaan nombor pendaftaran FF sebelum ini berhasil mendapat pulangan hampir RM35 juta. – Berita Harian

Google ads
Back to top button