Motosikal

BIMS 2017: SUZUKI GSX-R150 – MOTOSIKAL YANG MUNGKIN TIDAK AKAN SAMPAI KE MALAYSIA

Apabila Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (SAM) membuat keputusan untuk menutup kilangnya di Prai, Pulau Pinang pada September tahun lalu, ramai yang terkejut dan sedih.Suzuki pernah menjadi salah satu jenama motosikal pilihan buat penunggang tempatan. Model-model seperti Best, RG, RGV, Panther, Gamma dan banyak lagi sentiasa meniti di bibir peminat tegarnya.

Kini, semua itu sudah tinggal sejarah. Motosikal Suzuki kini hanya dijual dalam bentuk CBU dan berkuasa tinggi sahaja. Baru-baru ini, sewaktu berbual dengan seorang rakan, katanya ada pihak yang mahu menaikkan semula jenama Suzuki di Malaysia. Namun, ia berada di peringkat yang terlalu awal. Entah jadi, entah tidak.

Berbeza di Thailand, Suzuki walaupun tidaklah sebesar jenama Honda atau Yamaha, ia masih hidup dan terus menawarkan model-model baharu kepada pengguna di sana.

Pada acara Bangkok International Motor Show (BIMS) 2017 yang berlangsung sekarang hingga hujung mingu ini, terdapat satu model yang menarik perhatian saya, apa lagi kalau bukan Suzuki GSX-R150.

Jentera tersebut merupakan pesaing langsung kepada Yamaha R15. Dikenali sebagai Gixxer SF di pasaran India, Suzuki GSX-R150 dijana oleh enjin satu silinder empat lejang dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin bersesaran 147.3 liter itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 18.2bhp dan tork 13.8Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Bagi menawarkan tunggangan yang mantap, roda hadapan menggunakan fork jenis teleskopik dan shock tunggal di belakang.

Hanya seberat 126kg (kering), jentera itu jelas mempunyai nisbah kuasa berat yang ideal, sekali gus menjanjikan tunggangan yang berkuasa dan lincah. Jentera yang diimport dari Indonesia itu hadir dalam tiga warna pilihan iaitu biru, merah dan hitam.

Suzuki GSX-R150 dilancarkan oleh pelumba pasukan Suzuki MotoGP, Andrea Iannone yang diterbangkan khas dari Qatar.

BACA: PERALATAN KILANG MULA DILELONG HARI INI, SELAMAT TINGGAL SUZUKI

BACA: KILANG MOTOR SUZUKI DITUTUP – APA YANG SEBENARNYA YANG BERLAKU?

GALERI

Google ads
Back to top button