Buletin

BIMS 2017 – WAJAH BARU TOYOTA VIOS, KITA AKAN DAPAT YANG INI?

Sejak Honda Malaysia memperkenalkan City generasi keempat pada tahun 2014, ditambah pula dengan model facelift pada Mac lalu, penguasaannya dalam pasaran sedan segmen B memang tidak dapat dinafikan lagi.

Ini membuatkan pesaingnya, terutama Toyota Vios perlu bangkit berbuat sesuatu. Bagi memancing pelanggan, UMW Toyota Motor tahun lalu memperkenalkan model  Vios facelift yang hadir bersama sistem Dual VVT-i pada enjinnya. Enjin yang lebih menjimatkan minyak itu kemudian dipadankan bersama kotak gear CVT tujuh kelajuan.

Tidak cukup dengan itu, UMW Toyota Motor dikhabar bakal melancarkan model Vios baharu pada tahun ini. Sudah pasti, ia hadir dengan pelbagai bentuk penambahbaikan, terutama pada rekaan luaran dan dalaman.

Di pasaran negara jiran Thailand, Vios baharu sudahpun dilancarkan pada Januari 2017. Sekarang, model tersebut ada dipamerkan di acara Bangkok International Motor Show (BIMS) 2017.

Perubahan kosmetik yang dapat dilihat memang begitu ketara. Wajah hadapan yang agresif itu dipasang dengan gril berbentuk T. Ia diapit oleh sepasang lampu jenis projector bersama garisan lampu LED. Di sebelah kiri dan kanan, terletak lampu kabus berbentuk bulat dan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang diletak pada posisi menegak.

Kemas kini diteruskan ke bahagian belakang dengan grafik lampu lebih nipis. Selain bampar rekaan baru. Ruang kabin nampaknya tidak menerima perubahan besar. Vios juga mengekalkan enjin bersesaran 1.5 liter Dual VVT-i (106 hp / tork 140Nm) dan kotak gear CVT.

Di Thailand, Vios didatangkan dalam empat varian iaitu 1.5J, 1.5E, 1.5G dan 1.5S. Harganya bermula dari 609,000 baht (RM76,621) hingga 789,000 baht (RM101,237) seunit. Dari segi warna pula, pengguna boleh memilih daripada enam warna iaitu merah, coklat, putih, perak, kelabu dan hitam.

Ini versi Thailand. Spesifikasi dan reka bentuk untuk pasaran Malaysia dijangka tidak banyak berbeza. Kita tunggu sahaja…

BACA: SELEPAS LAYAN VSC DAN PUSING LEBIH 10 KALI DI LITAR MIMC, BENARKAH VIOS BAHARU LEBIH BAGUS?

BACA: TOYOTA VIOS FACELIFT – ENJIN BAHARU, CVT & LEBIH MURAH

GALERI

Google ads
Back to top button