
BMW GROUP DAN RIMAC BEKERJASAMA DALAM TEKNOLOGI BATERI VOLTAN TINGGI!
Di dalam industri automotif hari ini, selain BYD ada sebuah lagi syarikat yang menarik untuk diperhati dan diikuti perkembangannya iaitu Rimac dari Croatia.
Rimac bukan setakat mempunyai kereta hiper Nevera tetapi juga pembekal teknologi kepada Automobili Pininfarina, Porsche, Ferrari dan beberapa lagi.
Pemilikan Rimac Group juga menarik dan selain Mate Rimac selaku pengasas, saham kumpulan dipegang Porsche, Hyundai dan pelabur lain.
Rimac Group pula secara majoriti memiliki Bugatti Rimac dengan Bugatti Automobiles dan Rimac Automobili berada di bawah kumpulan. Baki 45 peratus Bugatti Rimac dimiliki Porsche.
Satu lagi perkara menarik, Rimac Automobili masih lagi dalam usia remaja selepas ditubuhkan pada 2009 oleh pengasasnya yang berusia 21 tahun ketika itu.
Terbaru BMW Group dan Rimac Technology mengumumkan kerjasama jangka masa panjang. Butiran lanjut bakal dimaklumkan kemudian.
Setakat yang dikongsi, kedua-dua syarikat akan bekerjasama dalam membangunkan dan mengeluarkan penyelesaian inovatif dalam bidang teknologi voltan tinggi untuk kenderaan (EV) tertentu.
Kekuatan dan kepakaran kedua-dua syarikat saling melengkapi dalam bentuk yang produktif.
BMW Group membawa bersama kepakaran dalam bidang bateri dan sistem pacuan elektrik selama lebih 15 tahun ke dalam kerjasama ini.
Rimac Technology pula merupakan pembekal Tahap 1 yang menumpukan pada elektrifikasi sektor automotif.
Portfolio Rimac Technology merangkumi pek bateri voltan tinggi, e-axle, penyelesaian elektronik dan perisian.
Produk Rimac Technology direka, dibangunkan dan dikeluarkan secara dalaman bagi menawarkan teknologi termaju dengan penyesuaian tahap tinggi.
BMW bakal tampil dengan kenderaan elektrik generasi baharu atau dikenali sebagai Neue Klasse dan tidak dapat dipastikan sama ada Rimac mempunyai kaitan dengan projek ini.
Di dalam berita berasingan, BMW Group sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan teknologi BMW eDrive generasi keenam dengan lonjakan pada jarak pemanduan dan tempoh pengecasan.
Pemakluman ini juga mungkin bermakna hasil kerjasama Rimac dan BMW akan digunakan pada model masa depan.













