Buletin

BMW M3, VW TIGUAN UNTUK TUJUAN PANDU UJI SAHAJA. TAK BELI PUN – PDRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa pihaknya masih dalam peringkat pandu uji atau pembuktian konsep (POC) sebelum keputusan mengenai pembelian kenderaan jenis BMW M3 dan Volkswagen Tiguan dimuktamadkan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu Bukit Aman ketika ini sedang menguji lima kereta BMW M3 dan Volkswagen Tiguan selama dua minggu.

“PDRM pada masa ini hanya menggunakan kereta berkenaan selama dua minggu sebagai percubaan tanpa apa-apa perjanjian.

“Tujuannya adalah untuk kita mendapat maklum balas sama ada kegunaan kenderaan ini sesuai atau tidak bagi sebarang penugasan dalam PDRM,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas perkara itu susulan penyebaran gambar lima unit kenderaan mewah jenis BMW dan Volkswagen, yang sudah dilengkapi aksesori kenderaan PDRM.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali dilapor menyatakan kenderaan berkenaan mungkin akan digunakan oleh Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan cawangan pengiring.

Menurut Hazani, PDRM juga sedia maklum tentang kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan semasa pandemik COVID-19. Namun tawaran yang diberikan oleh syarikat berkenaan hanyalah untuk pandu uji. – Astro Awani 

Google ads
Back to top button