Buletin

BMW M340i xDRIVE. MODEL M PERFORMANCE CKD PERTAMA. 387HP, RM402K

BMW Malaysia baru-baru ini melancarkan BMW M340i xDrive yang menjadi model M Performance pertama dipasang di Malaysia.

BMW M340i xDrive didatangkan dengan M Aerodynamics Package, sistem lampu BMW Laser Light serta kemasan BMW Individual High-gloss Shadowline.

Kemasan metalik Cerium Grey dapat dilihat pada elemen-elemen luaran seperti rongga udara kiri dan kanan di bampar hadapan, gril kidney BMW dan sekelilingnya dan perumah cermin sisi.

Jentera itu hadir dengan set roda aloi ringan bersaiz 19 inci Double Spoke 792 M Bicolour yang dibalut oleh tayar runflat. Brek M Sport dengan angkup brek berwarna biru ‘M’ turut dipasang.

Bahagian belakang, BMW M340i xDrive dilengkapi kemasan paip ekzos berkembar berbentuk trapezium dan spoiler M untuk penampilan lebih sporty.

Dinamik pemanduan luar biasa

BMW M340i xDrive mempunyai enjin paling berkuasa tinggi dalam keluarga BMW 3 Series.

Enjin petrol enam silinder BMW TwinPower Turbo itu menjana 387hp dan tork 500Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan.

Dengan keupayaan memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 4.4 saat serta kelajuan tertinggi maksimum 250 km/j, sedan itu masih dapat menawarkan penggunaan bahan api adalah sekitar 7.7l/100km sahaja.

BMW M340i xDrive hadir dengan suspensi Adaptive M Suspension yang 10mm lebih rendah dan menerima talaan khas. Suspensi berkenaan boleh dilara secara elektrik pada bila-bila masa mengikut kondisi jalan raya dan pemanduan.

Sistem pacuan semua roda BMW xDrive serba pintar menjanjikan pemanduan sporty. Manakala diferensial M Sport berfungsi mengoptimumkan cengkaman serta kestabilan ketika membelok pada kelajuan tinggi.

Ruang kokpit

Kokpit BMW M340i xDrive mengetengahkan susun atur ‘M-specific’ yang cukup sporty. Tempat duduknya dibalut kulit Vernasca. Stereng M juga dibalut kulit, manakala bumbung BMW Individual menggunakan material Anthracite.

Tidak ketinggalan, pedal dan karpet lantai M-specific’ serta kemasan Aluminium Tetragon.

BMW M340i xDrive dilengkapi BMW Live Cockpit Professional dengan instrumen digital bersaiz 12.3 inci dan BMW Navigation System Professional bersama paparan skrin sentuh 10.25 inci. Head Up Display dan bumbung kaca juga hadir sebagai ciri standard.

Berharga RM402,354 seunit, BMW M340i xDrive sudah boleh dilihat di pusat pengedar BMW terpilih dan ditempah secara dalam talian di https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM1,000.

Program pembiayaan

‘Balloon Financing Plan’ ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia membolehkan anda memiliki BMW M340i xDrive dengan bayaran bulanan RM4,468 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

GALERI

Google ads
Back to top button