
LAMBORGHINI TERHEBAT DI PASARAN – DIABLO VT 6.0 V12 2001
Kenapa tajuk tu tulis terhebat di pasaran? Bukan ada Lambo lain yang lagi baharu, lagi canggih, lagi mahal, lagi tiktok ke? Jawapannya ialah sebab ini kereta idaman Pokya dan sebab artikel ni PokYa yang tulis suka hatilah nak taruk terhebat ke, terkacak ke. Tapi serius cakap la, Diablo ni bukan setakat rupa, namanya pun memang sangat menggegar sukma.

Lamborghini merupakan salah satu syarikat pengeluar supercar teragung di dunia dan mereka memang pakar dalam menghasilkan supercar yang laju, menggegar sukma dan liar. Antara masterpiece teragung mereka ialah Miura dan Countach sehinggalah keduanya digantikan dengan Diablo. Nama Diablo bermaksud ‘syaitan’ dalam bahasa Sepanyol. Nampak tak mana datang aura hitam kereta ni.
Dan hari ini sebuah Diablo VT 6.0 keluaran tahun 2001 milik Olivier Panis, bekas pelumba F1 berada di RM Sotheby dan menunggu pemilik baharu. Lebih menarik lagi inilah Diablo dari tahun produksi terakhir sebelum digantikan dengan Murcielago.
Tahun terakhir Diablo bermakna bermulalah era baharu Lamborghini bersama VW. Pemilikan Lamborghini telah berpindah milik kepada VW dalam tahun 1998 dan ia diuruskan oleh Audi yang juga bernaung di bawah payung VW.

Diablo ini menggunakan sistem pacuan semua roda dengan enjin V12 6.0L yang mampu menghasilkan 549 hp kuasa maksima. Ia mempunyai kelajuan tertinggi 338 km/j dan hanya boleh diatasi oleh supercar seperti Jaguar XJ220 pada zaman tersebut. Dengan kata lain ini memang Diablo edisi istimewa.
Diablo VT ini dilayangkan dengan warna Grigio Iris asal dan dipadankan dengan kemasan dalaman sama warna. Pemilik pertamanya ialah Panis dan lengkap dengan dokumen asal yang mempunyai nama beliau termasuklah tanda tangan beliau pada bahagian sayap belakang kiri. Toksah nak mengada-ngada nak letak tanda tangan korang pakai marker pen kalau korang cuma orang beshe-beshe macam kami.
Panis memiliki Diablo ini sehingga 2014 dan telah memandunya sejauh 19,200 kilometer. Dia pandu okey bukannya beli untuk tayangan umum untuk jual produk. Selepas Panis menjual Diablo ini, pemilik kedua cuma memandunya sejauh 1,600 kilometer sahaja. Mungkin untuk pelancaran produk dan photoshoot je kot.

Bukan itu sahaja, Diablo ini juga mempunyai rekod servis yang lengkap. Pada tahun 2021, ia telah diselenggara secara total dengan penukaran minyak enjin, penapis, minyak brek dan palam pencucuh semua diganti baharu.
Klacnya juga sudah ditukar pada tahun 2017 dan kini ia berada dalam keadaan yang cukup baik di bawah jagaan RM Sotheby. VT ini merupakan Diablo terhebat dan ia juga mempunyai hubungan secara tidak rasmi dengan bekas pemandu F1 tersohor dari Perancis.
Tengok dari gambar-gambar RM Sotheby ni pun dan tahu macam mana Panis ni jaga kereta. Bukan setakat isi minyak dengan pam angin tayar je tau. Nasib baik dia tak isi coolant campur Red Bull dalam radiator macam Abang Japar.



