
TESLA MODEL Y ‘JUNIPER’ DILANCARKAN DI MALAYSIA – DUA VARIAN, TAWAR JARAK GERAK 551KM, HARGA BERMULA RM195K
Tesla Model Y ‘Juniper’ secara rasmi dilancarkan untuk pasaran tempatan, menawarkan dua varian iaitu Rear-Wheel Drive (RWD) dan Long Range All-Wheel Drive (AWD).
Dari segi penggayaan, kedua-dua varian ini hadir dengan rekaan eksklusif – cyber unik serta pilihan warna baharu yang dikenali sebagai Glacier Blue.
Perubahan ketara yang kita boleh lihat ialah rekaan lampu LED “light bar” serba baharu serta kedudukan nombor pendaftaran – kini dialihkan ke bahagian bawah bampar belakang.

Model terbaru ini menampilkan beberapa elemen unik bagi meningkatkan daya tarikan serta pengalaman pemanduan:
- Lencana pelancaran eksklusif di bahagian belakang.
- Lampu puddle dan plat pintu dengan ukiran ‘Launch’.
- Konsol pengecasan dan pelapik lantai dengan aksen perak.
- Interior serba hitam dengan kemasan suede vegan.
Selain itu, model ini turut ditambah baik dari segi aspek keselesaan seperti kabin yang lebih senyap, penggunaan kaca dwi-lapisan pada semua tingkap, serta bumbung panoramik disaluti perak berfungsi untuk mengurangkan penyerapan sinar UV serta haba.

Bukan itu saja, ia turut dilengkapi dengan reka bentuk rim baharu serta peresap belakang, bagi membantu mengurangkan rintangan udara dan meningkatkan kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.
Beberapa ciri moden lain yang turut melengkapi model ini termasuklah pencahayaan ambien boleh dilaraskan, skrin infotainment berukuran 15.4-inci dan skrin paparan tambahan 8-inci untuk penumpang di barisan kedua.
Kelengkapan lain termasuklah mempunyai keupayaan melipat tempat duduk belakang dengan satu butang bagi kemudahan tambahan dan tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan.

Dari segi kuasa, Model Y Juniper menawarkan prestasi:
- Varian RWD: Dikuasakan oleh motor tunggal dengan jarak gerak sehingga 466km (WLTP) bagi setiap pengecasan penuh.
- Varian Long Range: Dilengkapi dwi-motor, memberikan jarak gerak sehingga 551km bagi satu cas penuh.
Untuk pasaran Malaysia, penghantaran Model Y Juniper 2025 akan bermula pada April, dan perincian harga adalah seperti berikut:
- Rear-Wheel Drive (RWD) – Bermula dari RM195,450
- Long Range – Bermula dari RM242,450
GALERI:
















