
BMW X5 SILVER ANNIVERSARY EDITION – ACU TRY TEST BAWA MASUK KE OFF-ROAD SEKALI TENGOK MACAM MANA?
Sekitar tahun 1999 yang lalu, BMW telah memperkenalkan sebuah model SUV pertamanya, BMW X5 yang mana proses pembuatannya bermula sebaik sahaja BMW mendapatkan Land Rover pada tahun 1994. Maka, tidak hairan generasi pertama E53 ini mempunyai perkongsian komponen membabitkan model Range Rover L322 ketika itu yang mula diperbuat melalui kilang BMW di Spartanburg. Carolina Selatan.
Dan semenjak dari itu, hampir 3 juta model BMW X5 ini telah dipasang di Spartanburg untuk pasaran di seluruh dunia. Dan BMW terus mentakrifkan model ini sebagai Sports Activity Vehicle dan kini usianya telah pun mencapai 25 tahun pengeluarannya membabitkan sehingga empat generasi sehingga ke hari dengan pengenalan varian BMW X5 Silver Anniversary Edition yang menekankan konsep aktiviti.

Edisi istimewa yang dibina berdasarkan model X5 xDrive40i ini memberikan lebih ketenangan di jalanraya, prestasi dan kabin yang premium dan juga peningkatan yang ketara dalam keupayaan untuk menempuhi laluan off-road.
Secara visual, ianya dibezakan diantara gabungan penggayaan yang diambil daripada rekabentuk varian Sport dan juga M Sport meliputi beberapa kemasan yang digelapkan seperti pada garisan tingkap, rel bumbung, corong udara pada fender, serta gril dengan reka bentul buah pinggang.
Rim bersaiz 20 inci pula diambil terus daripada model M Sport begitu juga dengan reka bentuk bampar hadapan dan juga belakang. Melengkapkan penampilan luaran adalah layangan warna istimewa Lime Rock Grey serta lencana Silver Anniversary Edition di bahagian belakang.

Bagi mengukuhkan dakwaan ini adalah kenderaan untuk mengembara dan beraktiviti luar, Silver Anniversary Edition ini turut didatangkan pakej BMW xOffroad. Pakej ini tidak pernah ditawarkan kepada mana mana model BMW siri X sebelum ini hanya ditawarkan kepada Silver Anniversary Edition sahaja dengan keupayaan laluan off-road telah dipertingkatkan dengan tetapan boleh ubah untuk menempuh bentuk muka bumi yang berbeza.

Ianya boleh dikawal melalui butang kawalan yang berada di tengah konsol dengan pemandu boleh memilih diantara xSnow, xSand, xGravel dan juga xRocks. Sistem ini akan melaraskan ketinggian pemanduan kenderaan, strategi penukaran penghantaran, pemetaan pendikit, kawalan cengkaman dan parameter lain dengan sewajarnya untuk memberikan profil optimum untuk menghadapi situasi dikala itu.
BMW X5 Silver Anniversary Edition ini hanya akan mula diproduksikan bermula Ogos nanti dengan unit yang terhad pastinya. Harganya pasti sedikit mahal berbanding varian xDrive40i yang dijual.
BACA : BMW X5 PROTECTION VR6 – INILAH KENDERAAN YANG SANGGUP BERKORBAN UNTUK PEMILIKNYA
BACA : BMW X5 xDrive45e M SPORT. SAV MEWAH UNTUK ANDA. RM440,745 SEUNIT







