Buletin

BMW X5 xDrive45e M SPORT. SAV MEWAH UNTUK ANDA. RM440,745 SEUNIT

BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan X5 xDrive45e M Sport yang menjadi model elektrik terkini dipasang secara domestik.

Terkenal sebagai SAV terlaris dalam segmennya di seluruh dunia, BMW X5 xDrive45e M Sport ditawarkan pada harga RM440,745 seunit.  

Jentera itu tampil dengan rekaan mantap dan atletik. Ia dilengkapi lampu hadapan Adaptive LED nipis bersama ciri BMW Selective Beam.

Pakej M Sport SAV tersebut diserlahkan menerusi set roda aloi ringan ‘M’ bersaiz 20 inci, Star Spoke 740 M dwi-warna dan pedal brek M Sport.

BMW X5 xDrive45e M Sport dikuasakan oleh enjin enam silinder 3.0 liter yang lengkap dengan teknologi BMW eDrive. Dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan, ia mampu menjana kuasa maksimum 394hp dan tork 600Nm.

Kuasa itu disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan xDrive. Ini membolehkannya mencatat kelajuan 235km/j dengan pecutan 0-100km/j dalam masa 5.6 saat sahaja.

Dalam mode pemanduan elektrik, ia boleh bergerak sejauh 77km dalam caj penuh. Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 2.5 liter bagi setiap 100km. Aspek keselesaan pula dipertingkatkan dengan penggunaan suspensi udara.

Ruang kabin kini lebih mewah dengan upholsteri kulit Vernasca. Stereng yang boleh dilaras itu dibalut kulit. Tidak ketinggalan, penyaman udara automatik empat zon serta panel instrumen dengan material Sensatec.

Fungsi utama pada BMW X5 xDrive45e M Sport merangkumi BMW Live Cockpit Professional dengan kawalan gestur dan pembantu peribadi pintar. BMW Live Cockpit Professional terdiri daripada paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci dengan skrin sentuh paparan kawalan bersaiz sama.

Penumpang di tempat duduk belakang juga dapat menikmati Rear Seat Entertainment Professional dengan monitor sentuh bersaiz 10.2 inci. Fungsi pengecasan tanpa wayar turut ditawarkan.

Muzik pula dapat dinikmati dengan sepuasnya menerusi sistem bunyi keliling Harman Kardon berkapasiti 464W yang terdiri daripada 16 unit pembesar suara.

Kapasiti but SAV itu dapat ditingkatkan dengan mudah dari 500 liter menjadi 1,720 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Dari segi keselamatan pula, BMW X5 xDrive45e M Sport didatangkan dengan ciri BMW Personal CoPilot.

Ia merangkumi ciri Amaran Pengeluaran Laluan dan Amaran Penukaran Laluan, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Lintasan Trafik di Belakang, Pencegahan Perlanggaran Belakang, info had kelajuan dan banyak lagi.

Jika berminat, model itu didatangkan dalam pilihan warna biru, hitam, putih dan kelabu.

GALERI

Google ads
Back to top button