Artikel Pilihan

BTCC 2018 – 32 KERETA BAKAL BERSAING

British Touring Car Championship (BTCC) adalah sejenis perlumbaan touring yang boleh dikatakan sebagai perlumbaan terulung selepas World Touring Car Championship (WTCC). BTCC ini telah mula dilangsungkan semenjak tahun 1958 lagi.

BACA : HALFORDS YUASA RACING DAN HONDA CIVIC TYPE R BERGABUNG UNTUK BTCC MUSIM 2018

BACA : FORD SIERRA COSWORTH UNTUK DILELONG – KERETA JUARA BTCC NI DER!

Dan kini tahun 2018, BTCC telah pun berusia 60 tahun penganjurannya. Punyalah lama. Penganjur 2018 Dunlop MSA British Touring Car Championship, TOCA baru-baru telah melancarkan musim baharu di Donington Park dengan memperkenalkan 32 buah kereta yang bakal bersaing.

Untuk musim baharu ini, terdapat empat pasukan disokong oleh Pengeluar disamping pasukan persendirian yang bakal menguji kehandalan kereta masing-masing.

Pasukan BMW selaku juara bertahun sudah pasti mahu mempertahankan mahkota kejuaraan. Bakal mencabar adalah Honda, Subaru dan juga Vauxhall disamping kereta dari Toyota, Chevrolet, Ford, Mercedes-Benz, Audi dan juga Volkswagen.

Juara bertahan kategori Pemandu, Ashley Sutton bakal mempertahankan kejuaraan dengan menggunakan kereta Subaru Levorg GT beliau. Usia baharu sahaja 24 tahun. Muda belia. Jangan-jangan PTPTN pun baru nak mula bayar ansuran pertama dah menjadi jaguhan di pentas lumba.

Musim ini juga bakal menyaksikan Honda Civic Type R FK8 yang baharu juga bakal diuji ketangkasan dan ketahanannya untuk bersaing dalam 10 pusingan seluruh United Kingdom. Sudah tentu  Halfords Yuasa Racing mahu menjaga maruah Honda. Dibuat kalah dengan FK2 yang turut beraksi bersama pasukan  WIX Racing with Eurotech pasti lebih memilukan, iya tak?

Tapi untuk pasukan persendirian, sebuah kategori Jack Sears Trophy turut boleh direbut. Merasa jugalah kalau nak julang piala sambil hala-hala botol minuman yang tidak lembut.

Sebetulnya, BTCC ini juga bukanlah perlumbaan yang biasa-biasa. Dengan usia penganjuran yang ngam-ngam orang gomen pencen, sudah tentu ianya adalah suatu perlumbaan yang cukup prestij. Siap ada siaran secara langsung lagi oleh penyiar rasmi, ITV.

Masakan tidak, lama dahulu jenama Proton turut pernah bersaing dalam BTCC dengan Proton Impian dan juga Proton Persona. Banggalah kejap kan tengok ada kereta Proton bersaing di luar negara.

Dengan Dunlop bertindak selaku penaja merangkap penyedia tayar rasmi, sudah tentu hubungan yang terjalin semenjak tahun 2005 lagi juga sudah dianggap cukup sinonim dengan BTCC.

Pusingan pertama bakal membuka tirai pada hujung minggu ini di Brands Hatch.

 

Google ads
Back to top button