Buletin

BUKAN PROTON S50 TETAPI DINAMAKAN SEBAGAI S70 – BAKAL LANCAR NOVEMBER

Tular baru-baru ini, apabila netizen merakam sebuah Proton S70 sedang menjalani penggambaran bagi video promosi di jalan raya.

Seperti kita ketahui, model berkenaan sebelum ini digelar sebagai SS11 atau S50 namun ketika ini, ia dinamakan sebagai S70 dan bakal diperkenalkan selewatnya-lewatnya pada November.

CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu berkata, Proton S50 atau S70 ini tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton.

Menerusi foto yang tersebar, digit di antara ‘S’ dan ‘0’ bagaimanapun tidak kelihatan pada bahagian nombor plat depan dan belakang.

Menurut beberapa laporan media tempatan, ia kemungkinan adalah salah satu teaser untuk iklan komersial sedan tersebut.

Model sedan baharu itu adalah berdasarkan Geely Emgrand dan mempunyai dimensi 4,638mm (panjang), 1,820mm (lebar) dan 1,460mm (tinggi). Secara keseluruhan, ia lebih besar berbanding Proton Preve.

Untuk bahagian dalam kabin, ia berkemungkinan menerima rekaan seakan Proton X50, dimuatkan skrin bersaiz 10.25-inci pada papan pemuka yang menyokong GKUI Smart Ecosystem selain dilengkapi meter digital 12.3-inci.

Geely Emgrand di pasaran China ditawarkan dengan enjin 1.5 liter NA yang mampu menjana kuasa 114hp dan 147Nm tork serta dipadankan bersama transmisi CVT.

Laporan sebelum ini mendedahkan bahawa model baharu ini bakal diberi tanda harga sekitar bermula RM70,000. – Paultan

Google ads
Back to top button