
BYD CATAT SEJARAH, PRODUKSI MODEL NEV KE-5 JUTA
BYD baru-baru ini mengumumkan bahawa syarikat itu memproduksi kenderaan tenaga baharu (NEV) ke-5 juta menerusi model DENZA N7.
Pada 2022, kenderaan tenaga baharu BYD menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa, dengan jumlah jualan melebihi 1.86 juta unit.
Momentum itu berterusan pada 2023, apabila BYD berjaya mengutip jualan terkumpul mengagumkan iaitu sebanyak 1.5 juta unit dari Januari hingga Julai, termasuk 92,469 unit yang dijual di luar negara.

Sehingga Julai 2023, jualan kenderaan tenaga baharu global telah melonjak melebihi 4.8 juta unit secara terkumpul, satu lagi bukti komitmen syarikat terhadap penyelesaian pengangkutan yang mampan.
Perkembangan lain, BYD kini mempunyai tenaga kerja profesional seramai 90,000 selain memfailkan lebih 40,000 paten pada skala global, dengan lebih 28,000 paten telah pun diluluskan.
Sejak penubuhannya pada tahun 1995, BYD sentiasa berada di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi terutamanya inovasi seperti Blade Battery, DM-i Super Hybrid System, e-Platform 3.0, CTB Technology, e4 Platform serta Sistem Kawalan Badan Pintar DiSus.
Tahun lalu juga menyaksikan BYD melabur lebih RMB20 bilion (RM13 bilion) dalam R&D untuk terus menerajui revolusi tenaga baharu dan memberikan pengalaman mobiliti lebih baik kepada pelanggan di seluruh dunia.