Buletin

BYD MASUK PASARAN INDONESIA TAHUN DEPAN – BAKAL TAWAR TIGA MODEL, SEDIA TEKNOLOGI SOKONGAN

BYD baru-baru ini mengesahkan bahawa ia akan memasuki pasaran Indonesia pada 2024 dengan perancangan terperinci termasuk membina ekosistem mereka untuk bersaing di pasaran tempatan.

“Kami mengesahkan bahawa BYD akan memasuki pasaran Indonesia pada 2024. Hanya menunggu masa yang sesuai,” kata Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia-Pasifik BYD, Liu Xueliang.

Liu berkata, kemungkinan ada tiga model diperkenalkan di Indonesia iaitu BYD Seal (sedan), BYD Dolphin (hatchback), serta BYD Atto 3 (SUV/crossover).

Nama BYD di Indonesia sendiri lebih popular sebagai teksi elektrik Blue Bird di mana BYD e6 telah digunakan oleh Blue Bird sejak 2018.

Selain BYD e6, BYD T3 juga telah beroperasi sejak 2022 selain, terdapat bas elektrik BYD yang digunakan oleh Transjakarta sejak 2020 dan trak fork elektrik Forklift BYD.

“Jadi, sebenarnya Indonesia bukanlah negara asing bagi kita,” tambah Presiden Pengarah PT BYD Motor Indonesia, Eagle Zhao.

Menurut Eagle Zhao, BYD menjalankan kajian dan penyiasatan intensif untuk benar-benar memahami pasaran automotif Indonesia.

“Kami telah melakukan banyak perkara: ujian jalan raya, kajian tingkah laku, dan penyelidikan infrastruktur seperti kemudahan pengecasan.

“Ini bagi mendapatkan data yang tepat,” katanya.

Selain membawa masuk model EV, ia juga mahu membawa ekosistem kenderaan elektrik iaitu membina kilang kereta, kilang bateri, dan teknologi sokongan kenderaan elektrik.

Google ads
Back to top button