Buletin

TOYOTA SPORT CROSSOVER CONCEPT, EV DENGAN KERJASAMA BYD!

Tahukah anda? Toyota sekarang hanya mempunyai sebuah kenderaan elektrik (EV) yang ditawarkan di Eropah iaitu bZ4X. Jumlah itu bertambah sekiranya dicampur dengan kenderaan komersial Proace.

Menjelang 2026, pelanggan di Eropah bakal menikmati lebih banyak EV buatan Toyota atau enam model kesemuanya seperti Toyota FT-Se, FT-3e, Sport Crossover, Urban SUV dan Lexus LF-ZC.

Penawaran model tersebut disahkan dan dipertontonkan di Forum Kenshiki Toyota di Brussels, Belgium.

Toyota bukan mengabaikan EV tetapi mengambil pelbagai pendekatan ke arah neutral karbon bagi menawarkan penyelesaian mengikut keperluan pelanggan, infrastruktur dan beberapa perkiraan lain.

Disebabkan itu kita dapat melihat pelbagai teknologi yang ditawarkan dari kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik bateri (BEV) sehingga kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV).

Daripada model yang disenaraikan, Toyota Urban SUV concept membawa reka bentuk yang sudah hampir kepada produksi dan bakal dilancar pada 2024.

Sebuah lagi model iaitu Toyota Sport Crossover dengan gaya fastback dijadual untuk diperkenal di Eropah pada 2025.

Sebelum ke Brussels, model ini telah dipamerkan di Auto Shanghai pada April lalu dan menariknya dibangunkan untuk pasaran China dan Eropah oleh BYD Toyota EV Technology Co. Ltd. (BTET).

BTET ialah satu usaha sama yang ditubuhkan di China oleh Toyota dan BYD.

Jelas bahawa strategi perniagaan Toyota ialah bekerjasama dengan pengeluar lain dan memberi faedah kepada kedua-dua organisasi.

Rekaan depan Sport Crossover mengulangi gaya terbaru Toyota iaitu yu kepala tukul. Bukan sahaja bahagian depan, lampu belakang juga dibuat dengan gaya sama.

Bahagian tepi pula bersegi dan beralun yang menerangkan bahawa ini bukan zaman Toyota dengan rekaan tenang dan bersahaja. 

Bentuk badan Sport Crossover juga mengingatkan kepada Toyota Crown Crossover baharu.

Sebagai sebuah crossover, model ini menjadi pilihan kepada kenderaan utiliti sukan (SUV) dan turut membawakan ciri-ciri seperti lima pintu, ruang but besar dan ruang kaki belakang luas.

Daripada enam model, diharapkan Toyota turut menawarkannya di pasaran tempatan melihatkan kepada sambutan EV sekarang ini selain galakan daripada Kerajaan.

BACA: TOYOTA FT-3E CONCEPT, LAGI BESAR DARIPADA BZ4X, PLATFORM EV UNTUK PELBAGAI MODEL

BACA: TOYOTA CAMRY XSE BAHARU UNTUK SIRI PERLUMBAAN NASCAR!

BACA: TOYOTA CAMRY 2025, 2.5L HIBRID SAHAJA, DIREKA DI AMERIKA SYARIKAT

BACA: TOYOTA CROWN SEDAN DILANCAR DI JEPUN, FCEV DAN HIBRID!

BACA: 300 JUTA KENDERAAN TOYOTA DIKELUARKAN SEJAK 1935, SIRI COROLLA PALING BANYAK!

BACA: TOYOTA CROWN KEMBALI, SEDAN PREMIUM DAN TINGGI DARIPADA CAMRY!

Google ads
Back to top button