BYD DOLPHIN, KERETA ELEKTRIK MAMPU MILIK MARHAEN
Tahukah anda bahawa BYD Seagull iaitu kereta elektrik termurah yang dikeluarkan oleh BYD dan lebih kecil berbanding dengan BYD Dolphin hanyalah berharga sekitar RM 47,000 sahaja. Kereta elektrik kecil ini boleh dipandu sejauh 300km dengan satu pengecasan menjadikan ia kereta yang ideal untuk dipandu di bandar
Bagi pasaran Malaysia, BYD menawarkan model Dolphin dalam 2 varian samaada Standard Range yang berharga RM 99,900 ataupun Extended Range yang berharga RM 124,900. Perbezaan utama kedua dua varian ialah saiz bateri yang berbeza dimana varian SR menggunakan bateri 44.92kWh manakala ER menggunakan bateri 60.48kWh
Jika anda tertanya-tanya kenapa model ini dinamakan sebagai Dolphin, ini kerana Seal, Seagull dan Dolphin berasal daripada keluarga Ocean. Biarpun dinamakan sebagai Dolphin, namun penulis merasakan model ini kekurangan rekaan yang agresif yang menyebabkannya menjadi lebih tumpul
Sebaliknya rekaan Dolphin nampak sedikit tumpul di bahagian depan menyebabkan ia kelihatan seperti muka dugong, bukannya ikan lumba-lumba. Tapi rekaan depan Dolphin bukanlah buruk sangat dan masih boleh diterima terutama dengan rekaan lampu depan LED serta penggunaan LED tube light yang menyambungkan kedua dua lampu depan
Dolphin ini merupakan hasil karya Wolfgang Josef iaitu bekas jururekabentuk yang pernah bekerja dengan Alfa Romeo, SEAT dan juga Audi. Elemen rekaan yang paling menarik pastilah penggunaan LED tube light yang bersilang di bahagian belakang dan kelihatan lebih unik
Bagi varian Extended Range yang dipandu uji, model ini menggunakan rim bersazi 17 inci yang lebih besar dan juga brek cakera pada semua roda. Dari segi saiz, Dolphin datang dengan panjang 4290mm dan lebar 1770mm. Dengan jarak antara roda 2700mm, ia lebih besar daripada City hatchback dan kecil sedikit daripada HR-V.
Dolphin menggunakan platform khas EV iaitu skateboard platform 3.0 yang menawarkan suspensi Multi-Link untuk roda belakang, manakala varian SR menggunakan torsion beam. Dolphin boleh dicaj dengan menggunakan arus tulang alik sehingga 11kW ataupun arus terus sehingga 80kW.
Bagi varian ER, ia datang dengan motor berkuasa 201 kuasa kuda dan 310Nm tork dengan semua kuasa dihantar ke roda depan dan jarak perjalanan 490km sekali caj (NEDC) manakala SR pula datang dengan motor 94 kuasa kuda dan 180Nm tork serta jarak perjalanan 410km untuk sekali caj
Disebabkan penggunaan platform ini, Dolphin menawarkan ruang dalaman yang luas serta ruang kargo sehingga 345 liter. Ruang ini boleh dibesarkan menjadi 1310 liter dengan melipat kusyen belakang. Varian ER diberikan kusyen depan kuasa elektrik serta ciri penyejukan dalam kusyen.
Ia turut menerima skrin sebesar 12.8 inci, 4 poin USB, sambungan Apple Car Play tanpa wayar, android auto dan diberikan rekaan kokpit yang kelihatan lebih normal berbanding dengan BYD Atto 3. Melengkapkan lagi ciri penawaran ER ialah ciri panaromic roof.
Disebabkan jarak antara roda mencapai 2700mm, barisan kedua menawarkan tempat duduk yang luas dan selesa serta lantai yang rata. Ruang bahu juga adalah bagus untuk 3 penumpang saiz sederhana. Untuk pemandu pula, rekaan kusyen adalah selesa dan mengizinkan anda untuk memandu jarak jauh dengan mudah
Cuma berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh pihak BYD. Pertama suis untuk beberapa ciri seperti penyaman udara adalah terlalu licin dan sukar untuk digunakan.
Kedua meter yang dipasang untuk pemandu adalah terlalu kecil. Terlalu banyak amaran cuba disumbat pada masa yang sama menjadikan mata kita terlalu sibuk untuk mentafsir semua maklumat yang cuba disampaikan. Yang ketiga ialah BYD Dolphin ini tidak menawarkan corong penyaman udara untuk penumpang belakang
Berikut ialah ciri pemanduan yang ditawarkan oleh BYD Dolphin dan dibuat berdasarkan pemerhatian penulis:
1. tetapan suspensi adalah lebih kepada keselesaan dan mampu menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan baik. Tapi jika terlalu laju, rasa membuai tetap ada kerana berat Dolphin mencecah sehingga 2068kg. Tapi jika anda memandu dengan agresif di selekoh, ia masih menawarkan pengendalian yang lebih baik berbanding dengan Atto 3
2. Kuasa yang dihasilkan adalah sepadan dengan saiz kereta, dengan pecutan yang mengujakan. Tapi dengan tayar Linglong, cengkaman yang dihasilkan adalah tidak mencukupi. kalau ada duit lebih, tukar saja ke tayar yang lebih bagus
3. Disebabkan penggunaan skateboard platform dan rekaan suspensi MultiLink di bahagian belakang, kawalan cesi dan respon stering adalah boleh diharap serta meyakinkan.
4. Brek regeneratif pula boleh ditetapkan dalam 2 mode, samaada Normal atau High bagi mendapatkan semuala tenaga elektrik. Namun penggunaan mode High akan menyebabkan pemanduan menjadi kurang lancar sedikit.
Namun secara kasar pemanduan BYD Dolphin adalah straight forward, berkuasa dan anda cuma perlu membiasakan sedikit olengan cesi semasa memandu disebabkan berat bateri. BYD Dolphin mungkin nampak kecil, tapi beratnya macam sebuah SUV.
Ketika memandu uji Dolphin, penulis kerap mengecas EV ini di rumah dengan kos pengecasan hanyalah sekitar RM 0.516 per kWh. Maka kos pengecasan penuh Dolphin hanyalah RM 30.96 sahaja dan membolehkan anda memandu sejauh 490km (NEDC) atau sekitar 400km untuk WLTP.
Jika anda memerlukan pengecasan pantas, Dolphin boleh dicaj dari 10% ke 80% dalam masa hanya sekitar 38 minit sahaja dengan DCFC 80kW manakala wallbox pula memerlukan 7.6 jam untuk dipenuh dari 0% ke 100%.
Sama seperti Atto 3, Dolphin juga menawarkan ciri V2L dimana bateri ini boleh dijadikan sebagai power bank yang besar dalam situasi kecemasan atau ketika keadaan memerlukan. Ia diberikan lengkap dengan wayar sambungan dengan plug 3 pin
Antara perkara yang disukai oleh penulis ialah aspek keselamatan yang bagus ditawarkan oleh Dolphin seperti ciri amaran pengenasanan titik buta yang sangat sensitif, kamera 360 darjah yang cukup terang, 3 poin ISOFIX untuk penumpang belakang serta Safe Exit Reminder
BYD Dolphin membuktikan bahawa harga kereta elektrik adalah tidak mahal sebenarnya dan masih boleh dibeli oleh kebanyakan rakyat marhaen. Bayangkan kalau BYD Seagull yang berharga RM 47,000 in dijual di sini, pemain industri automotif kena fikirkan semula kaedah dan strategi jualan mereka untuk mengalahkan BYD