Buletin

BYD RAI ULANG TAHUN KE-30 DENGAN PENGELUARAN NEV KE-10 JUTA

BYD, pengeluar kenderaan tenaga baharu dan bateri kuasa terkemuka dunia, mencatat sejarah baharu dengan pengeluaran NEV ke-10 juta sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-30.

Peristiwa penting ini berlangsung di Pangkalan Pengeluaran Xiaomo di Zon Kerjasama Khas Shenzhen-Shanwei, mencerminkan komitmen kukuh BYD terhadap pengangkutan lestari dan peranannya sebagai peneraju global dalam industri automotif. 

Pengerusi dan Presiden BYD, Encik Wang Chuanfu, dalam ucapan utama, mengenang transformasi luar biasa syarikat itu daripada sebuah syarikat permulaan kecil dengan hanya 20 pekerja kepada sebuah korporat multinasional dengan hampir sejuta kakitangan di seluruh dunia.

Beliau menekankan dedikasi BYD terhadap inovasi teknologi dan sumbangan pentingnya dalam membentuk masa depan mobiliti. 

Pencapaian 10 juta NEV adalah bukti komitmen BYD terhadap pembangunan mampan. Menariknya, syarikat ini mengambil masa 15 tahun untuk menghasilkan 5 juta NEV pertama, tetapi hanya 15 bulan untuk mencapai 5 juta seterusnya.

NEV ke-10 juta, sebuah DENZA Z9, telah diserahkan kepada Pengasas dan CEO Game Science, Feng Ji, yang terkenal dengan permainan video Black Myth: Wukong.

Wang menekankan bahawa kejayaan BYD dibina di atas asas budaya kejuruteraan yang kukuh. “Roh jurutera BYD adalah jiwa syarikat kami,” katanya.

Untuk memberikan pandangan mendalam tentang budaya ini, Qin Shuo, seorang wartawan kewangan dan penulis terkenal China, telah menemubual hampir 100 eksekutif serta kakitangan BYD. Hasil wawancara ini dibukukan dalam The Soul of Engineers. 

Melangkah ke hadapan, BYD telah merangka BYD Basic Guidelines, iaitu dokumen strategik yang merangkumi prinsip asas, pengalaman sejarah, dan visi masa depan syarikat.

Sebagai sebahagian daripada pelan strategiknya, BYD akan melabur untuk membangunkan teknologi pintar yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dengan sistem automotif.

Pelaburan ini bertujuan meningkatkan teknologi dalam semua model kenderaan BYD, memastikan syarikat ini kekal berada di barisan hadapan dalam pasaran global. 

Dengan fokus terhadap pembangunan lestari dan semangat kejuruteraan yang tidak berbelah bahagi, BYD bersedia memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah perusahaan teknologi tinggi bertaraf dunia.

Google ads
Back to top button