
CANON LANCAR SUB JENAMA MAXIFY
Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (Canon), peneraju dalam pasaran pencetak inkjet di Malaysia sejak 19 tahun lalu baru-baru ini memperkenalkan satu jenama baharu untuk pencetak multi fungsi dan fungsi tunggal ke pasaran Malaysia.
Dikenali sebagai MAXIFY, ia direka untuk menggandakan produktiviti serta menjimatkan kos pengendali perniagaan SOHO. Pelancaran sub jenama baharu, MAXIFY merupakan satu keputusan strategik Canon Inc. untuk meningkatkan perkongsian pasarannya dalam perniagaan pencetak di peringkat global.
Jenama PIXMA dan imageCLASS Canon telah menjadi asas kepada kreativiti dan inovasi dalam pasaran pencetak di peringkat global sejak sekian lama melalui pengenalan teknologi termaju Canon secara berterusan.
“Pelancaran MAXIFY yang dilihat tepat pada masanya. Kami yakin dapat menembusi pasaran dengan lebih baik kerana kami mampu memenuhi keperluan pencetakan yang spesifik dalam sektor awam dan swasta,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (M) Sdn. Bhd., Wataru Nishioka.
Sebagai tanda pelancaran sub jenama baharu itu ke pasaran Malaysia, Canon telah melancarkan tiga model iaitu pencetak multi fungsi: MAXIFY MB5370 dan MAXIFY MB5070 serta pencetak fungsi tunggal MAXIFY iB4070.
Dengan mengadaptasi teknologi Canon, MAXIFY membolehkan para pelanggan di SOHO dan mereka yang mempunyai pejabat di rumah mendapat manfaat daripada empat ciri utama model-model pencetak ini.
Antaranya, penjimatan kos sehingga 50% untuk setiap cetakan, kapasiti dakwat hitam XL yang mampu mencetak sehingga 2,500 halaman dan cetakan pantas, Quick First Print dalam tempoh hanya 7 saat.
Sementara ciri MAXIFY Cloud Link pula memudahkan urusan mengimbas kepada e-mel, webmail, Google Drive atau OneDrive. Sebagai tambahan, model-model ini didatangkan dengan jaminan di lokasi selama tiga tahun.
“Justeru, dengan model pencetak MAXIFY, pelanggan boleh menghasilkan cetakan berwarna dalam jumlah yang banyak pada kos rendah. Selain mendapat manfaat daripada ciri-ciri keselamatan, rangkaian dan ketersambungan awan termaju,” kata Ketua Bahagian Sistem Produk Pengguna (CSP) Canon Marketing (M) Sdn. Bhd, Jeffrey Kung.
Kung turut menerangkan beberapa ciri menarik yang membuatkan rangkaian pencetak MAXIFY satu pilihan yang tepat oleh para pemilik perniagaan.
Kualiti Cetakan
- Ciri Dual Resistant High Density Ink (DRHD) Canon menawarkan hasil cetakan yang lebih tahan lasak. Ini kerana ia memiliki elemen tahan air dan penanda apabila dicetak di atas kertas kosong. Perubahan juga boleh dilakukan secara serta-merta ke atas dokumen yang baru dicetak tanpa perlu bimbang dakwat menjadi comot. Kejelasan dan kontras cetakan juga mengagumkan. Cetakan berwarna pula menawarkan kualiti foto-realism untuk digunakan dalam kertas cadangan perniagaan yang pastinya dapat mengagumkan pelanggan anda, walaupun hanya dicetak di atas kertas yang biasa digunakan di pejabat.
Penjimatan
- Antara ciri-ciri yang membantu penjimatan kos, masa dan sumber kepada pengguna adalah:
– Quick First Print membolehkan anda mendapat cetakan pertama dalam tempoh hanya tujuh saat. Untuk kegunaan harian, pencetak ini dikatakan mampu mencapai kelajuan cetakan maksimumnya iaitu sehingga 32.5 halaman seminit untuk cetakan hitam putih dan 24ppm bagi kualiti cetakan draf berwarna.
– Alat pengesan imbasan berkembar binaan dalam membolehkan kedua-dua belah dokumen diimbas sekali gus. Ciri ini mampu meningkatkan produktiviti kerana anda boleh menjimatkan lebih masa apabila mengunakan pengimbas Auto Document Feeder (ADF) yang lain. Model MAXIFY MB5370 dilengkapi ciri ADF yang menjadikannya pencetak inkjet atas meja pertama memiliki keupayaan tersebut.
– Ciri Custom Profiles pada pencetak MAXIFY membolehkan 20 tetapan salinan, imbasan atau faks yang paling kerap digunakan disimpan. Ini membolehkannya diakses dengan lebih mudah apabila diperlukan.
– Melalui ciri Scheduled ON/OFF, tetapan masa lebih awal boleh dilakukan pada pencetak MAXIFY MB5370 dan MB5070. Ia membolehkan pencetak dihidup atau dimatikan mengikut jadual, sekali gus tidak memerlukan pengurusan secara manual dan menjimatkan masa.
– Paparan LCD memantau rekod cetakan, imbasan dan salinan dengan mudah. Ia juga memantau cetakan untuk mengukur tahap penggunaan dan mengelakkan pembaziran kertas.
Ketersambungan
- Model MAXIFY MB5370 dan MB5070 membolehkan perkongsian fail dibuat di pejabat. Ciri Scan to Network menyimpan salinan ke dalam satu folder yang dikongsi dalam lingkungan rangkaian pejabat. Dengan ciri Scan to Email yang ada pada pencetak MAXIFY, akses kepada dokumen penting boleh diakses dengan lebih pantas walaupun ketika bergerak.
- Para pengguna boleh mencetak dan mengimbas menggunakan peranti bebas tangan mereka menerusi aplikasi MAXIFY Printing Solutions (MPS) apabila ada ketersambungan Wi-Fi. Aplikasi ini boleh digunakan pada platform iOS dan Android.
- Perkhidmatan MAXIFY Cloud Link pula membolehkan cetakan serta imbasan dibuat daripada dan kepada penyedia penstoran seperti Google Drive, Dropbox, Evernote, selain Apple AirPrint dan Google Cloud Print. Bagi memastikan fungsi yang menyeluruh, MAXIFY Cloud Link boleh diakses secara langsung daripada paparan LCD dan aplikasi MPS.
Keselamatan
- Setting Restrictions menghalang akses yang tidak diberi kebenaran ke atas pencetak dan dokumen. Ciri ini penting apabila peranti tersebut dikongsi oleh ramai pengguna. Pihak pengurusan boleh memasukkan kata laluan untuk memastikan peranti mereka selamat dan mengekalkan tetapan standard pencetak masing-masing.
- Dengan ciri Operation Restrictions, pemilik perniagaan boleh berasa lega kerana dokumen mereka berada dalam keadaan selamat. Mereka boleh menghadkan fungsi-fungsi peranti termasuklah menyahaktifkan port USB pada bahagian hadapan bagi menghalang dokumen-dokumen sulit daripada diusik.
“Pencetak MAXIFY juga hadir bersama jaminan di lokasi selama 3 tahun. Dengan 9 buah pejabat dan 106 penyedia servis sah yang dikendalikan oleh pakar-pakar produk yang dilatih khas, Canon mampu menawarkan perkhidmatan yang pantas dan efisien,” kata Kung.
MAXIFY MB5370 ditawarkan pada harga RM1,108, MB5070 berharga RM908 dan iB4070 cuma RM518 seunit. Pencetak-pencetak ini boleh didapati di cawangan sah Canon yang terpilih mulai Mac 2015.