INFINITI QX80 – RM799,000
Pengeluar kenderaan mewah global, Infiniti hari ini melancarkan model terbaharunya ke pasaran Malaysia, QX80 yang sekali gus melengkapkan rangkaian model SUV jenama tersebut.
Rekaan dinamik serta saiznya yang cukup besar boleh menempatkan lapan orang penumpang dewasa bersama barang-barang mereka dengan selesa.
Rekaan signatur bahagian hadapan yang terdiri daripada dua arca dan gril dengan corak gelombang dilihat mengikut gaya berani model sports sedan popular Q50. Fascia hadapannya turut menampilkan lampu utama LED tinggi/rendah yang baru.
Ciri-ciri luaran lain yang ketara termasuklah dapra hadapan dan belakang yang dipadankan dengan kemas bersama dan pintu belakang kuasa. Penampilan SUV ini dilengkapkan lagi dengan rim aloi bersaiz 22 inci yang ringan dan pelindung bampar belakang tahan karat.
Enjin 5.6-liter V8 itu menggabungkan pecutan responsif teknologi VVEL (Variable Valve Event & Lift) Infiniti dengan penjimatan sistem Direct Injection Gasoline (DIG). Ia berupaya menghasilkan kuasa mencecah 405hp dan tork 560Nm.
Enjin V8 itu kemudian dipadankan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan dengan ciri Adaptive Shift Control (ASC) dan mode penukaran gear secara manual, Downshift Rev Matching (DRM).
QX80 didatangkan dengan sistem pacuan empat roda (4WD) Infiniti bersama mode Auto, 4H dan 4L. Sistem ini direka untuk mengagihkan kuasa tork ke keempat-empat roda bergantung kepada kondisi jalan (sebanyak 50 peratus kuasa tork boleh disalurkan ke roda hadapan jika perlu) bagi membantu meningkatkan cengkaman.
Apabila keadaan laluan off-road menjadi semakin mencabar, satu suis pelbagai mode permukaan jalan yang terdiri daripada mode Snow, Mud dan Rock akan mengubah talaan parameter kuasa tork enjin, 4WD serta VDC.
“Penampilan dan saiz QX80 yang gah, secara rasmi menjadikannya SUV paling besar yang ada dijual di Malaysia,” kata Ketua Unit Perniagaan Infiniti, Christopher Tan.
Sistem Hydraulic Body Motion Control diperkenalkan buat pertama kalinya pada kenderaan Infiniti. Sistem ini mengurangkan olengan tubuh kenderaan ketika membelok untuk memberikan pemanduan yang lebih selesa.
Kawalan suhu ditawarkan pada tempat duduk baris pertama dan kedua. Tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan konfigurasi 60/40 menggunakan suis, ia memudahkan urusan keluar masuk penumpang di tempat duduk baris ketiga.
QX80 menawarkan sistem audio dan hiburan termaju. Sistem bunyi Bose Cabin Surround terdiri daripada pengekodan 5.1, 15 unit pembesar suara, pemain DVD/CD tunggal dengan kemampuan memainkan muzik daripada format MP3, port penyambungan USB untuk digunakan oleh iPod® Interface atau peranti-peranti lain, serta penstriman audio melalui Bluetooth®.
QX80 dilengkapi Pakej Bantuan Pemandu yang terdiri daripada sistem teknologi terkini seperti Intelligent Brake Assist (IBA) dengan Forward Emergency Braking, Predictive Forward Collision Warning (PFCW), Backup Collision Intervention® (BCI), Intelligent Cruise Control (Full-Speed Range), Blind Spot Warning (BSW) dan banyak lagi.
Penampilan luaran QX80 disempurnakan dengan empat warna pilihan iaitu putih, kelabu, merah hati dan hitam.
Jentera ini diimport sepenuhnya dari Jepun. Harga runcit di atas jalan tidak termasuk insurans ialah RM799,000 seunit untuk pendaftaran peribadi atau RM799,200 bagi pendaftaran syarikat.