Buletin

CESSNA TERHEMPAS, JURUTERBANG ‘HIDUP’ DALAM HUTAN AMAZON SELAMA 38 HARI

Seorang juruterbang terpaksa menjalani kehidupan selama 38 hari di hutan Amazon, Brazil selepan enjin pesawat ringan dipandunya terhenti secara tiba-tiba pada 28 Januari lalu.

Antonio Sena, 36, memandu pesawat Cessna 210 membawa kargo dari Alenquer ke lombong emas haram dan terpaksa mengawal pesawat untuk mencari lokasi mendarat.

Pada ketinggian 1,000 meter, dia berjaya mendarat di tengah-tengah lembah hutan hujan terbesar dunia itu.

Dia yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah mengambil beberapa barang seperti petrol, beg galas, tiga botol air, empat minuman ringan, sebungkus roti, tali, alat kecemasan, lampu dan dua pemetik api sebelum pesawat itu meletup.

Sena menjelaskan, pada lima hari pertama kejadian, dia mendengar pesawat penyelamat cuba mencarinya, selepas itu tiada lagi kerana beranggapan sudah maut.

“Saya sangat kecewa dan rasa seperti tidak boleh keluar dan akan mati,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak berputus asa dan memutuskan untuk terus berjalan sambil melakukan beberapa tindakan menyelamat yang diingatinya.

Bahkan, menggunakan baki bateri pada telefonnya untuk mencari lokasi GPS.

“Hanya ada air, tiada makanan dan saya terdedah kepada binatang buas seperti buaya, harimau dan anakonda.

“Saya makan apa yang monyet makan dan makan tiga telur burung untuk sumber protein.

“Dalam masa sama, saya melihat hutan hujan yang belum disentuh dan mendapati Amazon bukanlah satu-satu hutan hujan, tetapi terdapat kira-kira lima hutan di dalamnya,” katanya.

Sena terus bersemangat untuk meneruskan kehidupan kerana memikirkan ibu bapa dan adik beradik lain.

Sebelum ini, Sena seorang juruterbang terlatih dengan 2,400 jam waktu penerbangan, membuka restoran di kampung halamannya beberapa tahun yang lalu, namun disebabkan Covid-19, ia terpaksa ditutup.

Tiada pilihan dalam mendapatkan wang, beliau terpaksa melakukan pekerjaan menghantar kargo ke perlombongan haram itu.

Jelasnya, beliau berjalan sejauh 28 kilometer dan hilang 25 kilogram sepanjang tempoh berkenaan.

Pada hari ke 35, Sena terdengar bunyi seperti gergaji dan akhirnya berjumpa kem pengumpul kacang Brazil yang diketuai Maria Jorge dos Santos Tavares.

Di sebalik perkara yang terjadi itu, Sena berasa seperti satu hikmah berjumpa dengan sebuah keluarga harmoni yang tidak menghancurkan hutan berbanding tugasannya itu.

“Saya tidak akan melakukan penerbangan lagi untuk pelombong haram itu,” katanya. – agensi

Google ads
Back to top button