Buletin

MADOKA CHUJO WANITA PERTAMA PENGARAH URUSAN, CEO HONDA MALAYSIA

Honda Malaysia mengalu-alukan kehadiran Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif wanita pertamanya, Madoka Chujo menggantikan CEO terdahulu, Toichi Ishiyama.

Madoka Chujo memulakan perkhidmatan secara rasmi pada 1 April lalu.

Sebelum ini, wanita itu memegang jawatan sebagai Naib Presiden Unit Jualan dan Pemasaran Honda Kanada semenjak 2019.

Kerjaya Madoka Chujo di Honda bermula 23 tahun lalu pada tahun 1997, dan semenjak itu beliau banyak memegang jawatan penting di Jepun, China, Sepanyol dan Kanada.

Beliau berkata, Malaysia merupakan pasaran yang cukup penting di rantau Asia dan Oceania.

“Bahkan, Honda Malaysia turut meraih beberapa pencapaian yang signifikan sehingga menjadi pendahulu jenama automotif di Malaysia.

“Saya amat teruja untuk menjalankan tugas sebagai Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia. Dalam masa sama, bersemangat untuk meneroka negara ini yang unik dan menjadi lokasi pertemuan pelbagai jenis masyarakat serta budaya.

“Malaysia juga mempunyai potensi yang besar dan suasana persekitaran kerja yang pantas,” katanya

Dalam pada itu, Toichi Ishiyama menyertai Honda Malaysia pada November 2017 dan menggalas tugas pertama dalam mengendalikan pelancaran kereta produksi pacuan roda depan terpantas di dunia, Civic Type R.

Sepanjang tiga tahun menerajui Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berjaya memimpin Honda Malaysia mencapai jualan sebanyak 900,000 unit pada 2019 selain mengekalkan posisi sebagai jenama bukan nasional nombor satu untuk enam tahun berturut-turut.

Terbaharu, Honda Malaysia menyambut pencapaian jualan menghampiri 1 juta unit pada Mac 2021.

Toichi Ishiyama akan berangkat ke Jepun untuk menggalas tugas baharu di dalam Perniagaan Automobil, Divisyen Strategi Perniagaan Honda Motor Co. Ltd.

Google ads
Back to top button