CHERY OMODA 5, SATU PERCUBAAN BERANI
Adalah menjadi kebiasaan kepada kebayakan pengeluar apabila cuba menembusi satu demografi pasaran yang baru, pengeluar akan menggunakan satu formula yang sudah biasa dipraktikkan dan boleh dikatakan berjaya. Tawarkan satu produk dengan harga yang lebih murah dan dipasang dengan lebih banyak ciri unik melebihi pesaing.
Ia merupakan satu strategi yang telah digunakan oleh Kia, Hyundai, Toyota dan juga Honda sewaktu cuba menembusi pasaran baru dan meminta pelanggan baru mencuba produk mereka. Kaedah ini sangat berkesan dan ia turut digunakan oleh Chery bagi memasarkan salah satu produk baru mereka iaitu Chery Omoda 5.
Omoda 5 adalah sebuah SUV dalam segmen B, bersaing dengan Proton X50, Toyota Corolla Cross dan juga Honda HR-V. Tapi dari segi posisi harga, ia kelihatan agak tidak munasabah kerana Chery Omoda 5 (RM 118,000) sebenarnya RM 5000 lebih mahal berbanding dengan Proton X50 (RM 113,000), dan hanya lebih murah jika dibandingkan dengan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross dan juga Peugeot 2008
Cuma Chery Omoda 5 ini akan menang dari segi saiz kerana dengan panjang 4400mm, dan lebar 1830mm crossover ini sebenarnya lebih besar berbanding dengan pesaingnya yang lain. Malah jarak antara roda juga adalah 2630mm iaitu hanya kurang 10mm sahaja berbanding dengan Toyota Corolla Cross.
Dari segi rekaan luar, pada pandangan penulis ia sebenarnya tidak selari antara rekaan depan dan juga belakang. Malah seluruh rekaan luar Omoda 5 ini nampak terlalu dibuat-buat untuk kelihatan bergaya. Bayangkan anda jumpa seorang lelaki yang namanya hampir kepada nama mat saleh, tapi berkulit gelap Asia dan memakai pakaian jenama Gucci di dalam kampung. Itulah perumpamaan yang tepat.
Namun bagi sesetengah individu, rekaan Design Art in Emotion yang diketengahkan oleh Chery ini nampak segar jika dibanding dengan jenama yang lain. Jeriji depan direka seperti jeriji Lexus dengan solekan berlian dan dinamakan sebagai Diamond Matrix Front Grille
Manakala lampu utama pula diposisikan di bahagian bawah seperti rekaan Hyundai namun bagusnya lampu depan ini dipakejkan dengan lampu tinggi, lampu rendah dan juga lampu kabus depan. Lampu LED di atas pula digunakan untuk lampu isyarat membelok dan lampu DRL.
Bagi menjadikan rekaan Chery Omoda 5 lebih berani, ia menampilkan beberapa calitan warna merah pada cermin sisi, skirting sisi, sport rim dan spoiler belakang 2 lapis dengan warna merah yang nampak sungguh kreatif. Malah untuk rekaan sisi, shoulder line untuk Omoda 5 juga kelihatan gagah dan bergaya.
Bagi menjadikan Chery Omoda 5 lebih istimewa, anda akan dijemput masuk dalam kabin dengan penggunaan Welcome Signal yang akan menyala apabila anda berada dekat dengan pintu dan pintu ruang kargo belakang yang boleh dibuka dan ditutup secara automatik
Rekaan dalaman pula seperti menggabungkan beberapa rekaan kereta daripada jenama lain. Sebagai contoh rekaan papan pemuka dibuat seperti rekaan yang sama digunakan oleh Mercedes Benz dengan 2 skrin 10.25 inci. Rekaan konsol tengah pula adalah mirip kepada rekaan yang digunakan oleh Tesla lengkap dengan pad pengecaj telefon pintar tanpa wayar
Manakala kalau anda perhatikan dengan teliti, rekaan tombol gear pula mirip seperti rekaan yang digunakan oleh Porsche. Secara jujurnya ia adalah rekaan ringkas, moden dan nampak mahal. Dalam kelasnya pula, hanya Chery Omoda 5 datang dengan kipas penyejuk terbina dalam kusyen, kusyen dengan bantuan motor elektrik serta cermin sisi 2 lapis.
Untuk bahagian belakang, penumpang boleh mengecaj telefon dengan 1 poin USB dan menikmati pemandangan yang luas dengan penggunaan cermin panaromic. Sistem multimedia pula akan bersambung dengan 8 pembesar suara daripada jenama Sony, sangat biasa bagi penulis yang terdedah dengan pelbagai jenama speaker yang lain
Ruang penumpang belakang adalah OK sahaja biarpun jarak antara roda bagi Cherry Omoda adalah 2630mm. Ruang bagasi pula menawarkan sehingga 378liter ruang kargo dan boleh dibesarkan sehingga 1075 liter dengan melipat kusyen belakang sekiranya keadaan memerlukan. Sebagai rekod Corolla Cross menawarkan 440liter ruang kargo dan Peugeot 2008 adalag 405 liter
Jika anda biasa dengan jenama Cherry, maka anda akan biasa dengan enjin ACTECO yang pernah digunakan untuk MPV mereka satu ketika dulu. Ia adalah enjin yang dibangunkan secara usahasama oleh firma kejuruteraan Austrian iaitu AVL.
Enjin 1500cc 4 silinder dengan turbo ini menghasilkan 156 kuasa kuda dan 230Nm tork, dan diatas kertas ia akan kalah dengan enjin Proton X50 serta enjin Honda HR-V di atas kertas DAN di atas jalan raya. Malah kebanyakan kereta buatan China akan kalah dalam satu perkara iaitu, peggunaan bahan api yang tinggi
Biarpun Cherry mengatakan enjin ini berupaya memberikan bacan purata sehingga 14km per liter petrol, namun bacaan sebenar penggunaan bahan api ialah sekitar 10.2km per liter dengan halaju sebenar di lebuh raya, dengan penulis memandu sekitar 90-140km/jam.
Sebagai rekod, ini adalah purata penggunaan bahan api yang sama digunakan oleh Toyota Supra 3.0 yang menjana 335 kuasa kuda. Berikut ialah beberapa pemerhatian penulis berkenaan Cherry Omoda 5 selama 5 hari:
1. Ergonomik – biarpun dipasang dengan stering yang boleh diubah ketinggian dan jarak kepada pemandu serta kusyen yang boleh dilaras, pandangan mata anda tetap terhalang dengan roda stering kenderaan
2. Kedudukan tuil signal berada di sebelah kanan, menjadikan pemanduan Cherry Omoda tidak kekok berbanding dengan Proton X50
3. Gear CVT yang digunakan tidak berapa lancar jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Dalam keadaan pemanduan sesak, penghantaran kuasa enjin terasa menyentap, kalibrasi gear yang tidak berapa kena dan tombol gear mudah termasuk dalam mode Manual
4. Roda stering terasa keras dan kaku, menjadikan penulis merasakan tiada sambungan atau tiada komunikasi antara penulis dengan tayar depan
5. Sistem suspensi juga kadangkala terasa tidak bekerjasama dengan cesi, kadangkala terasa keras bila melalui jalan tidak rata dan dalam sesetengah keadaan akan menyebabkan cesi terasa teroleng apabila melalui selekoh tajam dengan laju.
Mungkin juga disebabkan penggunaan torsion beam pada gandar belakang, tayar belakang akan terasa longgar apabila melalui selekoh tajam yang tidak rata
6. Prestasi brek juga adalah di luar jangkaan penulis, kerana anda perlu menekan pedal dengan kuat untuk efek brek yang berkesan biarpun Chery diberikan brek cakera pada semua roda. Sudahnya anda malas untuk melenjan Omoda dan memandu dengan berhemah
7. Tapi kalau dibandingkan dengan pesaingnya yang lain, Chery Omoda 5 dipadankan dengan sistem keselamatan yang cukup lengkap. Brek kecemasan automatik, kamera 360 darjah yang cukup terang, sistem RCTA, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam. Namun pada padangan penulis AHB pada Chery 5 ini kurang sensitif berbanding dengan Perodua Ativa sekalipun.
8. Dalam aspek NVH, penulis masih boleh mendengar bunyi deruman motosikal dari bahagian sisi kenderaan biarpun cermin sisi menggunakan kaedah pemasangan kaca 2 lapis. Pada halaju 110km/jam, Chery Omoda 5 mencatatkan bacaan bunyi bising pada kadar 72dB
Pada pandangan penulis, sekiranya Chery mahu menguasai pasaran SUV utuk golongan muda maka jalan terbaik ialah dengan menjual Omoda 5 ini dengan harga di bawah RM 100,000. Mungkin ini harga yang kita akan dapat nanti selepas model ini dipasang secara CKD.