Buletin

CHERY ARRIZO 8. NAK LAWAN CAMRY DAN ACCORD. 2 PILIHAN ENJIN, BERMULA RM93K DI CHINA 

Kereta sedan mungkin sudah tidak lagi diminati di pasaran Eropah dan Amerika Utara, tetapi ia sebenarnya masih lagi popular dalam kalangan pembeli di China. 

Bagi memenuhi permintaan tersebut, Chery dilihat bersedia untuk mengembangkan rangkaian sedan mereka menerusi Arrizo 8 baharu yang bakal bersaing secara langsung dengan Toyota Camry, Honda Accord dan Kia Optima. 

Arrizo 8 akan diposisikan di atas model lebih kecil iaitu Arrizo 5 Plus dan Arrizo 5 Pro. Ia sepatutnya diperkenalkan pada acara Beijing Auto Show yang telah ditangguhkan, jadi Chery berkongsi beberapa keping foto rasmi kereta tersebut di internet. 

Rekaannya memang tipikal sebuah sedan enjin pembakaran dalaman dengan grill besar, lampu LED depan belakang, kemasan krom dan garis bumbung yang menurun.

Bahagian belakang seakan-akan meniru rekaan Toyota Camry, tetapi cuba menyerlah dengan dua ekzos berkembar. Sama ada ekzos berkenaan boleh berfungsi atau sekadar hiasan, masih belum dapat dipastikan.   

Masuk ke ruang kabin, Arrizo 8 hadir dengan rekaan papan pemuka yang minimalis. Ruang kokpit dengan kemasan dua tona itu dilengkapi dua unit skrin paparan bersaiz 12.3 inci, tiada tombol untuk sistem pendingin hawa, rekaan rata pada bahagian bawah stereng dan konsol tengah yang tinggi. 

Upholsteri yang digunakan nampaknya lebih elegan berbanding model lama Chery. Ia menggabungkan material kulit, kayu dan besi untuk kelihatan lebih mewah. Reka bentuk panel pintu seperti meniru Lexus LC. 

Arrizo 8 dilapor akan menggunakan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 194hp dan tork 290Nm. Varian lebih berkuasa pula dipasang dengan enjin 2.0 liter yang mampu menjana kulasa 250hp dan tork 390Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan. 

Jentera itu dijangka berada di bilik pameran Chery di China menjelang suku ketiga 2022. Harganya dikatakan bermula 140,000 yuan (RM93,000) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button