
KENDERAAN ELEKTRIK HYUNDAI-KIA AKAN DIPASANG BATERI BAHARU, TAWAR JARAK PEMANDUAN 1000KM
Hyundai-Kia dijangka meningkatkan perkongsiannya dengan gergasi teknologi China, CATL untuk rangkaian kereta elektrik pengeluar dari Korea Selatan itu.
Menurut laporan, antara 70,000 hingga 140,000 kereta elektrik dari Hyundai dan Kia dilaporkan akan dipasang dengan bateri baharu mulai tahun depan.
Teknologi bateri ‘cell-to-pack’ (CTP) generasi ketiga CATL, dikenali sebagai ‘Qilin’, dikatakan dapat meningkatkan ketumpatan tenaga dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 1000 kilometer pada satu pengecasan.

Laporan luar negara mengatakan bateri CTP 3.0 akan dipasang pada model Hyundai dan Kia untuk pasaran Eropah serta Korea Selatan.
Pada April 2022, CATL mengumumkan ia akan membuka kilang bernilai AS$6 bilion (RM26.4 bilion) di Indonesia, hanya sebulan selepas Hyundai membuka kemudahan pengeluaran pertamanya di Indonesia.
Dikenali sebagai pengeluar bateri terbesar di dunia, syarikat itu telah membekalkan lebih separuh daripada kereta elektrik yang dijual di China. Maka dengan kecanggihan teknologi dimiliki oleh CATL, pembuat kereta seperti BMW, Tesla dan Ford tertarik untuk bekerjasama.
Walaupun Hyundai mendakwa Ioniq 6 yang dilancarkan baru-baru ini akan mempunyai jarak pemanduan sejauh 614km apabila ia tiba di Australia pada awal 2023, gergasi kereta China, Geely dengan keluaran Zeekr 009 mewahnya akan mempunyai jarak lebih daripada 1000km, atas faktor penggunaan teknologi bateri CATL Qilin.
Bateri Qilin dikatakan 13 peratus lebih cekap berbanding sel bateri ‘4680’ terbaharu Tesla, yang menggunakan reka bentuk silinder, juga diterima pakai oleh BMW.
- BACA: ADA KERETA HYUNDAI/KIA TAHUN 2011-2019? ANDA MUNGKIN BOLEH DAPAT ENJIN PERCUMA
- BACA: HYUNDAI DAN KIA TERPAKSA SEDIAKAN PERUNTUKAN RM9.4 BILION, SELESAIKAN MASALAH ENJIN THETA GDI
- BACA: PEMBELI KERETA BAHARU KIA, HYUNDAI DAN GENESIS DI KOREA SELATAN BENGANG. KENA TUNGGU SEHINGGA 30 BULAN
- BACA: HYUNDAI IONIQ 5 DINOBAT WORLD CAR OF THE YEAR 2022. KALAHKAN MUSTANG MACH-E DAN KIA EV6.