
CHINA RANCANG GABUNG DONGFENG DAN CHANGAN, CABARAN BARU BUAT BYD
Beijing dikatakan sedang merancang untuk menyatukan dua syarikat automotif milik kerajaan, Dongfeng Motor dan Changan Automobile, dalam satu kumpulan induk sebagai sebahagian daripada usaha menangani lebihan kapasiti dan meningkatkan daya saing industri kenderaan elektrik (EV) di China.
Pengumuman terbaru oleh Dongfeng Motor Group yang disenaraikan di Hong Kong serta Changan Automobile yang tersenarai di Shenzhen menunjukkan bahawa pemegang saham utama mereka sedang meneliti urusan aset, berkemungkinan mengubah struktur pemilikan syarikat induk masing-masing.
Khabar angin mengenai kemungkinan penggabungan ini memberi kesan positif kepada pasaran saham, dengan saham Dongfeng meningkat sebanyak 26 peratus kepada HK$4.06 pada hari Isnin, manakala saham Changan Automobile naik 4.7 peratus kepada 14.18 yuan.

Menurut pengurus dana di Loyal Wealth Management Shanghai, Ivan Li, langkah ini selari dengan usaha kerajaan China untuk menggalakkan penyatuan dalam sektor automotif, memandangkan persaingan sengit dalam industri telah menjejaskan kebanyakan pengeluar.
Jika gabungan ini direalisasikan, entiti baharu terbentuk bakal menjadi pengeluar kenderaan terbesar di China, mengatasi BYD yang kini mendominasi pasaran EV global.
Pada tahun 2024, Dongfeng dan Changan secara kolektif mengeluarkan 5.16 juta kenderaan, dengan masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 2.48 juta dan 2.68 juta unit. Sebagai perbandingan, BYD menjual sebanyak 4.27 juta EV.
Walaupun penggabungan ini berpotensi memperkuatkan industri automotif negara, ia juga diakui sebagai proses yang kompleks.
Pakar berpendapat bahawa tempoh yang panjang diperlukan untuk menyelesaikan perjanjian ini, mengambil kira kesan terhadap tenaga kerja serta ekonomi tempatan.
Dongfeng dan Changan turut menegaskan bahawa sebarang penyusunan semula syarikat induk mereka tidak akan memberi kesan kepada operasi harian dalam jangka pendek.
Walau bagaimanapun, sekiranya penggabungan ini terlaksana, ia berpotensi mencorakkan semula landskap industri automotif China.
- BACA: KAWASAKI NAIK TARAF NINJA 1100 SX DENGAN FUNGSI ‘DASHCAM’ DI JEPUN
- BACA: ASTON MARTIN VALKYRIE AKAN MEMBUAT DEBUT ISTIMEWA DI AMERIKA UTARA PULA SELEPAS UNTUK SIRI PERLUMBAAN LASAK DI IMSA
- BACA: TOYOTA BZ4X 2025, LEBIH KUASA, JARAK BERTAMBAH!
- BACA: SHELL RECHARGE PERLUAS RANGKAIAN HPC, HUBUNGKAN PANTAI TIMUR DAN PANTAI BARAT