Buletin

CONTINENTAL AG BUAT PENSTRUKTURAN SEMULA. 20,000 PEKERJA BAKAL TERJEJAS

Continental AG dilapor sedang merancang untuk melakukan penstrukturan semula bagi dekad akan datang yang dijangka memberi kesan kepada 20,000 kakitangannya di seluruh dunia.

Ia dilihat sebagai langkah terkini syarikat Jerman tersebut untuk mengekalkan keuntungan.

Pada masa yang sama menyerap kesan pengurangan pengeluaran kenderaan di pasaran-pasaran utama dan peralihan industri kepada kereta elektrik.

Pembuat alat ganti auto kedua terbesar di dunia itu akan melabur sebanyak 1.1 bilion euro (RM5.03 bilion) sehingga tahun 2029 untuk mencapai pengurangan kos kasar pengeluaran sehingga 500 juta euro (RM2.28 bilion) bermula tahun 2023. Continental kini mempunyai 244,000 kakitangan di 60 buah negara.

Bulan lalu, Continental mengumumkan pelan penambahbaikan yang mungkin menyebabkan pemberhentian kerja dan penutupan kilang. Ia juga mengambil keputusan untuk menghentikan perniagaan hidrauliknya yang berperanan menghasilkan pemancit serta pam bahan api bagi enjin petrol dan diesel.

Continental sedang menilai operasi membuat sistem rawatan gas ekzos dan bekalan bahan api.  

Perubahan itu jelas menunjukkan para pembuat alat ganti kenderaan terpaksa mengadaptasi perkembangan industri di mana perisian menjadi komponen utama kenderaan.

Peraturan emisi yang semakin ketat di China dan Eropah memaksa pengeluar menjual lebih banyak EV, ketika permintaan global terhadap kereta kian lemah.

Continental merancang untuk menutup dua buah kilang di Amerika Syarikat yang menghasilkan komponen hidraulik dan kilang membuat tayar trak di Malaysia.

Google ads
Back to top button