
COVID-19: KAKITANGAN MAS DIMINTA AMBIL CUTI TANPA GAJI 3 BULAN BERMULA APRIL DEPAN
Malaysia Airlines Berhad hari ini meminta seramai 13,000 orang kakitangannya supaya mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.
Tawaran yang dibuka kepada semua kakitangan itu menyaksikan mereka perlu mengambil tiga bulan cuti tanpa gaji atau lima hari cuti tanpa gaji setiap bulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan bermula April depan.
Menurut laporan theedgemarkets.com, tawaran program cuti tanpa gaji sukarela itu turut diperluaskan kepada semua kakitangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG). Ini termasuklah MAB Kargo, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering, Firefly dan MASwings.
MAG ialah syarikat induk kepada MAS, Firefly, MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy, perkhidmatan catar penerbangan umrah dan haji, Amal, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail sebelum ini ada memaklumkan bahawa pihaknya akan mengurangkan 10 peratus gaji pengurusan kanannya serta mengurangkan elaun mereka.
Pemotongan kos itu dibuat bagi menampung permintaan yang lemah ke atas perjalanan udara akibat wabak Covid-19 yang menghalang momentum pertumbuhan syarikat.
“Kita perlu bersatu untuk memerangi krisis ini. Sembilan minggu telah berlalu dan aliran tunai bukan sahaja menjejaskan MAG, malah industri penerbangan secara keseluruhannya.
“MAG tidak terlepas daripada semua ini. Ia bukan sahaja menjejaskan syarikat penerbangan tetapi juga hotel, peruncit, tempat pasaran dan pusat membeli-belah.
Jadi, tindakan drastik perlu diambil oleh kita semua,” katanya menerusi video berdurasi lebih tujuh minit kepada kakitangan MAG pada Selasa lalu.
Menurut Izham lagi, pada suku pertama tahun ini sahaja, pihaknya mengurangkan sebanyak 7.1 peratus kapasiti penerbangan dan menggantung lebih 1,600 penerbangan.
“MAS juga mengurangkan laluan ke China sebanyak 53 peratus serta ke Korea Selatan dan Jepun sebanyak 23 peratus. Dalam keadaan krisis ini, lebih banyak penerbangan akan dibatalkan kerana kurang permintaan daripada pasaran. Landskap industri kini sudah berubah,” kata Izham.
Banyak syarikat penerbangan global terpaksa menjalankan langkah pemotongan kos untuk mengekalkan aliran tunai. Ini termasuklah Emirates, Cathay Pacific, Singapore Airlines (SIA) dan Malindo Air.
- BACA: COVID-19: KAKITANGAN MALINDO DIARAH AMBIL CUTI, GAJI DIPOTONG SEHINGGA 50%
- BACA: BENCANA COVID-19. 100,000 KAKITANGAN EMIRATES DIBERI CUTI TANPA GAJI
- BACA: PESAWAT SUBSONIK BRITISH AIRWAYS CATAT SEJARAH. NEW YORK-LONDON 2 JAM SAHAJA
- BACA: KORONAVIRUS: CATHAY PACIFIC MINTA 27,000 PEKERJA AMBIL CUTI TANPA GAJI SELAMA TIGA MINGGU