CRUISER SULUNG CFMOTO 450CL-C MULA MASUK PASARAN ASIA TENGGARA – 40HP, 39NM
CFMOTO merupakan antara pengeluar motosikal dari China yang sentiasa berada dalam radar kami. Manakan tidak, walaupun masih baru tapi mereka bingkas meletakkan diri dikalangan jenama yang lebih terkemuka.
Tak cukup melakukan kejutan dengan beberapa model konsep baharu di EICMA 2023 pada November lalu, CFMOTO sudah mula mengorak langkah di pasaran Asia Tenggara.
Terbaru, CFMOTO memperkenalkan motosikal jenis ‘cruiser’ pertama mereka di pasaran Filipina menerusi CFMOTO 450CL-C.
Untuk rekod 450CL-C merupakan adik beradik kepada 450SR yang turut dipasarkan di Malaysia. Ini kerana 450CL-C ini turut dikuasakan enjin parallel-twin 450cc dengan ‘270-degree crank’ sekaligus menghasilkan nada seakan V-Twin di samping 40hp dan 39.3Nm.
Angka kuasa itu secara langsung meletakkan 450CL-C sebagai pesaing kepada Honda Rebel 500 dan Kawasaki Eliminator 450 baharu.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
- fork ‘inverted’ 37mm depan
- tayar 130/90-16 depan, 150/80-16 belakang
- ABS dwi-saluran
- panel meter TFT
- pencahayaan LED penuh
Mengambil kira model ini sudah mula menembusi pasaran Asia Tenggara, kami jangkakan CFMOTO akan turut memasarkan model baharu ini di Malaysia selewatnya tahun depan.