
DATSUN KINI KEMBALI
Datsun baru-baru ini memperkenalkan model terbaharunya untuk kurun ke-21 iaitu Datsun GO. Ia dilihat sebagai komitmen yang pernah dinyatakan oleh pihak Nissan Motor Co. Ltd. pada Mac tahun lalu yang mahu mengembalikan jenama Datsun ke pasaran automotif dunia.
Menjadi jenama ketiga untuk Nissan selepas Nissan dan Infiniti, Datsun yang dilancarkan di Kindom of Dreams di New Delhi, India dilihat akan memainkan peranan penting dalam pelan perniagaan Nissan Power 88.
Setakat ini, model kompak itu dikuasakan oleh enjin bersesaran 1.2 liter yang dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Dari segi dimensi, Datsun GO adalah selebar 1,635mm, tinggi (1,485mm) dan sepanjang 3,785mm.
Walaupun kompak, ia mempunyai ruang dalam yang luas (tapak roda 2,450mm). Sekali gus menawarkan ruang kepala dan kaki yang selesa kepada pemandu dan penumpangnya.
Jentera ini dijangka ditawarkan pada harga rupee India INR400,000 (RM21,529) seunit. (Gila murah!). Datsun GO dibina untuk memenuhi keperluan golongan pertengahan di negara tersebut dan dihasilkan di salah sebuah kilang terbaharu Renault-Nissan Alliance di Oragadam, Chennai.
Sebenarnya, nama kereta kereta ini diinspirasikan daripada model Datsun yang pertama iaitu DAT-GO yang dilancarkan hampir sekurun lalu di Jepun. Ketika itu, Datsun menjadi kereta untuk mereka yang tidak pernah bermimpi untuk memiliki sebuah kenderaan.
Justeru, jenama Datsun dan model Datsun GO merupakan kombinasi kepada aspirasi dan kebolehpercayaan. Para pelanggan Datsun dijanjikan dengan pengalaman pemilikan yang menyenangkan, kos keseluruhan kompetitif, servis mudah diakses, harga telus dan keupayaan rangkaian pengedarannya.
Menurut Nissan, model Datsun akan dibina berasingan untuk beberapa pasaran berbeza. Namun, konsepnya masih berdasarkan kepada inspirasi semasa Nissan. Datsun GO merupakan model pertama Datsun yang akan turut dilancarkan di Indonesia, Rusia dan Afrika Selatan pada tahun depan.
Walaupun Datsun GO dibina oleh pusat rekaan Nissan Motor di Jepun, aspek gayaan, R&D dan pembangunan kejuruteraannya dipertanggungjawabkan ke atas sumber serta vendor tempatan. Ini supaya produk tersebut sesuai dengan kondisi, cita rasa dan keperluan pengguna setempat. Di samping lebih mudah diakses dari segi harga dan bekalannya.
“Datsun menjanjikan banyak model baharu. Kereta untuk mereka yang baru pertama kali hendak membeli kenderaan, terutama di negara-negara membangun. Ia sesuai untuk pengguna yang mahukan kereta mampu milik dengan fungsi-fungsi asas.
“Datsun telah lama melakukan semua ini. Kami mengembalikan jenama Datsun dengan reka bentuk lebih moden dan teknologi termaju,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn.

















