
PROTON SAGA SV TERUS LARIS
Sebagaimana yang telah dijangka, model Saga Super Value (SV) yang dilancarkan oleh Proton Holdings Bhd Jun lalu terus mendapat sambutan. Kini, jumlah tempahannya sudah mencecah lebih 12,000 unit.
“Saya amat gembira. Ini satu angka yang amat memberangsangkan. Produk yang Proton keluarkan menepati kehendak rakyat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd. Hisham Othman kepada para pemberita di majlis berbuka Puasa dan Solat Tarawih Warga Proton yang turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga penasihat Proton di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Hisham, Proton Edar menjangkakan permintaan terhadap model Saga SV akan terus meningkat. Ini kerana ia memberikan nilai kepada wang pembeli dengan ciri keselamatan seperti beg udara bagi penumpang hadapan. Biarpun harganya adalah RM5,000 lebih rendah berbanding varian Saga sebelum ini.
Mengenai jumlah varian Saga SV yang telah didaftarkan, Hisham memberitahu sasaran awal hanya 2,000 unit sebulan. Tetapi pada bulan ini, sebanyak 5,500 unit Saga SV telah didaftarkan.
Ditanya mengenai model Preve hatchback yang akan dikeluarkan, beliau enggan mengulas lanjut tetapi berkata model berkenaan bakal muncul di pasaran pada tahun ini. – Bernama











