Motosikal

HUSQVARNA LANCAR SVARTPILEN 125. HARGA BELUM ADA, MUNGKIN TAK MASUK MALAYSIA

Husqvarna baru-baru ini memperkenalkan Svartpilen 125 untuk pasaran antarabangsa. Sedia maklum bahawa Husqvarna sebelum ini sudah pun menawarkan versi Svartpilen dengan enjin 200cc, 250cc, 401cc dan 701cc.

Sekali pandang, ia memang sangat mirip dengan model berkapasiti enjin lebih besar iaitu Svartpilen 250.

Seperti namanya, jentera itu menggunakan enjin empat lejang empat injap DOHC bersesaran 125cc. Mampu menjana kuasa mencecah 15hp dan tork 12Nm, enjin yang mematuhi piawaian Euro 5 itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Kapasiti tangki pula ialah sekitar 9.5 liter dengan berat 153kg dan tinggi pelana 836mm.

Model naked itu berkongsi banyak komponen dengan saudara rapatnya, KTM 125 Duke. Apa yang paling ketara, ia menggunakan kerangka trellis bersama lampu berbentuk bulat.

Rekaan tangki yang seperti bersambung dengan panel badan, ekor pendek dan madgad jenis tergantung membuatkan penampilan Svartpilen 125 cukup unik. Motosikal moden itu dipasang dengan lampu utama LED dan kluster instrumen LCD bulat.  

Kualiti tunggangan dipertingkatkan menerusi penggunaan fork terbalik (USD) WP 43mm dengan travel 142mm di depan. Manakala roda belakang menerima suspensi jenis monoshock WP prabeban boleh laras dengan travel 142mm.

Tugas membrek pula diserahkan kepada sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran Bosch 10.1 MB. Ia terdiri daripada brek cakera radial 320mm pada roda hadapan dan brek cakera apung bersaiz 230mm di belakang.

Ia didatangkan dengan rim lidi bersaiz 17 inci dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR. Gayaan Svartpilen 125 diserlahkan lagi dengan beberapa aksesori menarik seperti mufler slip-on Akrapovic, visor angin,  fender depan dan pelana lebih selesa.

Husqvarna masih belum mendedahkan harga model ini. Biar berapa pun harganya, harapan untuk Svartpilen 125 dibawa masuk ke Malaysia adalah tipis. Ini kerana ia mungkin terlalu mahal untuk sebuah jentera bersesaran 125cc.

Tak payah nak risau kerana Husqvarna Malaysia kini ada menawarkan Svartpilen 250 dan 401 untuk pengguna tempatan. Harga pula bermula RM24,800 seunit.

Google ads
Back to top button