Buletin

PROTON TAWAR BANTUAN DISKAUN SEHINGGA 20 PERATUS KEPADA PARA PELANGGAN TERJEJAS AKIBAT BANJIR

PROTON menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada semua pemilik model jenama berkenaan yang terjejas akibat banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata fenomena banjir baru-baru ini telah menjejaskan ribuan masyarakat terutama di Shah Alam, Selangor yang merupakan terletaknya ibu pejabat PROTON.

“Ramai pelanggan kami mengalami kerosakan tempat tinggal serta perniagaan termasuk kenderaan dimiliki mereka.

“Justeru, pihak PROTON ingin menghulurkan bantuan untuk memastikan kenderaan mereka boleh diperbaiki dan memberi keyakinan bahawa pelanggan kami adalah keutamaan utama syarikat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau memberitahu diskaun sebanyak 20% bagi alat ganti tertentu dan caj buruh akan diberi kepada semua pelanggan terjejas berikutan banjir.

Katanya, para pelanggan yang ingin mendapatkan diskaun tersebut terlebih dahulu perlu melakukan laporan polis tentang kejadian itu.

Selain itu, Roslan Abdullah menjelaskan caj tunda sebanyak RM200 dan caj pembersihan bahagian luar dan ruang enjin sebanyak RM100 akan dibayar oleh syarikat.

“Keadaan luar biasa memerlukan tindak balas yang luar biasa. PROTON akan berusaha untuk menentukan kenderaan pelanggan diperbaiki secepat mungkin dan menasihati mereka untuk terus ke pusat perkhidmatan kami supaya dapat menikmati faedah ini.

“Alat gantian tulen akan diberi jaminan jadi mereka yakin kualiti kerja pembaikan kami.

“PROTON agak bertuah kerana banjir baru-baru ini tidak menjejaskan barisan pengeluaran kami tetapi lebih dari 1,000 warga Proton telah terjejas,” ujarnya.

Beliau menambah ahli-ahli Kelab PROTON, organisasi sosial dan kesejahteraan dalaman untuk semua kakitangan, telah diaktifkan untuk menyediakan pakej penjagaan serta menawarkan servis pembersihan kepada rakan-rakan serta keluarga mereka.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi talian pelanggan PROTON di 1-800-88-8398.

Google ads
Back to top button