Motosikal

DUA MODEL BAHARU BMW MOTORRAD

BMW Motorrad Malaysia hari ini memperkenalkan BMW F 700 GS dan BMW F 800 R yang dihasilkan di kilang BMW Motorrad di Rayong, Thailand.

BMW F 700 GS (6)

Model BMW F 700 GS merupakan pengganti kepada model BMW F 650 GS. Ia dibina oleh BMW Motorrad bagi memenuhi aspirasi penunggang off-road dan menjadikan menunggang motosikal sebagai sebahagian daripada hidup mereka.

Model enduro baharu ini lebih ringan dan selamat dengan kawalan sepenuhnya di atas apa jua permukaan jalan. Ia juga menawarkan kuasa yang mencukupi bagi tunggangan jauh. BMW F 800 R pula ialah model roadster hasil daripada kombinasi kelajuan dan kelincahan. Hantaran kuasa, pengendalian dan keseimbangan yang impresif memastikan keseronokan tunggangan pada setiap masa.

Mengenai janaan kuasa, BMW F 700 GS dan BMW F 800 R dilengkapi enjin yang sama iaitu 798cc DOHC sejukan cecair 2-silinder dan pancitan bahan api elektronik. Kuasa itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

BMW F 700 GS (7)

Kuasa yang dihasilkan oleh BMW F 700 GS tentunya lebih besar berbanding BMW 650 GS. Model kembara itu mampu menghasilkan kuasa 75hp @ 7,300rpm dan tork 77Nm @ 5,300rpm. Namun begitu, kuasa yang dihasilkan F 700 GS sedikit rendah berbanding BMW F 800 R.

Model roadster itu mampu mencapai kuasa 87hp @ 7,500rpm dan tork maksimum 86Nm @ 5300rpm. Tindak balas spontan, kuasa tarikan yang tinggi dan penggunaan bahan api yang rendah adalah kelebihan kedua-dua model ini. Sebagai standard, kedua-dua jentera dipadankan dengan BMW Motorrad ABS berdasarkan prinsip “Keselamatan 360 darjah” BMW Motorrad.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata kedatangan dua model baharu itu akan menawarkan keseronokan tunggangan yang sebenar kepada pelanggan di Malaysia.

BMW F 800 R (2)

“Motosikal ini akan menjadi kunci dalam memperkenalkan jenama BMW Motorrad kepada sasaran pelanggan baru kerana ciri enjin dan teknologi baharu yang diperkenalkan.

“BMW Motorrad merekodkan prestasi pertumbuhan 123 peratus pada tahun lalu dengan jualan 745 unit motosikal. Ini adalah sumbangan yang kukuh bagi prestasi keseluruhan BMW Group Malaysia,” katanya.

BMW F 800 R (6)

Bahagian kokpit enduro dan roadster kini dipasang dengan komputer Motorrad BMW sebagai ciri standard. Ciri tersebut menyediakan pengurusan maklumat terperinci. Malah diprogramkan bagi mendapatkan semula data kenderaan dengan cepat menerusi skrin rata yang disediakan di hadapan penunggang. Komputer berkenaan boleh dikendalikan dengan mudah menggunakan butang BC pada hendal. Informasi yang disediakan termasuk purata kelajuan,  penggunaan bahan api dan baki minyak di dalam tangki.

Model BMW F 700 GS dan F 800 R kini ditawarkan dengan pilihan tempat duduk lebih rendah berwarna hitam sebagai standard. Model F 700 GS mempunyai ketinggian pelana 790 milimeter. Jentera touring itu mampu menawarkan ciri ergonomik yang lebih optimum mengikut saiz badan penunggang berbeza. Ia menyumbang kepada tahap keselesaan lebih baik dan prestasi dinamik ketika menunggang.

BMW F 800 R (3)

Pemilik F 800 R pula boleh menikmati tunggangan yang selesa dan ergonomik menerusi ketinggian pelana 780mm. Model roadster itu juga tidak berkompromi dengan aspek keselamatan dan keselesaan. Bagi pemilik yang memilih varian F 800 R Sport akan menerima ciri keselamatan tambahan iaitu ASC (Kawalan Kestabilan Automatik) dan ESA (Pelarasan Penggantungan Elektronik).

Satu lagi elemen penting bagi keselamatan dan prestasi tentunya tekanan angin tayar yang ideal. BMW F 800 R Sport baharu dilengkapi ciri unik RDC (Tekanan Kawalan Tayar). Sistem dengan monitor kecerunan itu menyediakan penunggang maklumat tekanan semasa tayar.

BMW F 700 GS (4)

Dari segi penampilan, BMW F 800 R Sport baharu lebih elegan menerusi penggunaan lampu LED pada bahagian belakang. Tidak ketinggalan, BMW juga memadankan varian Sport itu dengan spoiler enjin berwarna hitam.

Beralih kepada pilihan warna. Model touring itu didatangkan dengan konsep warna baharu iaitu putih, hitam  dan biru. BMW F 800 R pula ditawarkan dengan warna biru (Racing Blue Metallic) dan putih.

BMW F 800 R (1)

Kedua-dua model sudahpun berada di pusat jualan BMW Motorrad di seluruh negara. Bagi mereka yang ingin melihat dengan lebih dekat model tersebut, kunjungi booth BMW Motorrad pada MotoGP Malaysia hujung minggu ini.

Berikut ialah senarai harga model baharu BMW:

BMW F 700 GS – RM56,900
BMW F 800 R – RM49,900
BMW F 800 R Sport – RM53,500

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button