
DUA RAKAN BAIK HASILKAN SUV ELEKTRIK – PRAVAIG DYNAMICS E-SUV, JARAK GERAK 500KM
Dua kawan dari zaman kanak-kanak, Siddhartha Bagri dan Dhawal Khullar, bakal mengeluarkan kenderaan elektrik yang digelar sebagai Pravaig Dynamics e-SUV.
Pencapaian itu bagaimanapun tidak datang dengan mudah apabila perlu menghabiskan kebanyakan waktu untuk menyertai forum, meneliti serta merungkai permasalahan kenderaan elektrik pada awal kemunculan EV.
“Pada 2007-08, teknologi kenderaan elektrik baru sahaja muncul. Forum kenderaan elektrik mempunyai kira-kira 500-600 ahli dari Rimac, Tesla, AC Propulsion, dan lain-lain,” Kata Siddhartha Bagri.
Kami ingin memastikan terdapat teknologi yang baik untuk kenderaan elektrik. Kami tidak berpuas hati dengan produk sedia ada,”

Dengan minat serta ketekunan, kedua-duanya membuat keputusan menubuhkan syarikat bernama DEFY, berfokuskan pembinaan kenderaan elektrik di India.
Menurut laporan, Siddhartha berhenti dari kolej dalam usahanya untuk membina teknologi mampan dan perjalanan sebenar bermula ketika kedua-keduanya menyedari tiga permasalahan utama.
“Apabila kami mula membina kereta, kami mendapati terdapat pengurangan jumlah pemilikan, kekurangan kebolehbaikan kerana kos pembaikan begitu tinggi selain kekurangan privasi dengan adanya kamera.
“Ini meninggalkan rasa tidak enak dalam diri pengguna termasuklah tidak memberi kebebasan kepada pengguna ketika memilih kenderaan. Ia juga membunuh perniagaan pembaikan kecil,” tambah Siddhartha.
Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka mula bekerja pada prototaip. Memandangkan ia bermula sebagai sebuah syarikat pemula, kedua-duanya turut mengusahakan projek lain bagi membiayai kos penyelidikan dengan membina beberapa produk terus kepada pengguna menerusi teknologi AI.
Jelas Siddhartha, DEFY mula membina casis, suspensi serta teknologi badan sebelum mengeluarkan prototaip mereka. Selain itu, DEFY juga menubuhkan kilang bateri di Bengaluru.
Hasilnya, usaha lebih sedekad membuahkan hasil dengan kenderaan elektrik perdana DEFY, menawarkan jarak gerak 500km, dengan daya pecut pada 0-100km/j dalam tempoh 4.9 saat.
“Ia adalah kenderaan elektrik paling mampan dan menghormati privasi,” kata Siddhartha.
Untuk rekod, Pravaig Dynamics e-SUV kini mula menerima tempahan pada tanda harga AS$48,440 (RM214,129) di mana SUV elektrik itu akan memulakan penghantaran di pertengahan 2023.
“Pravaig Dynamics e-SUV dijual harga mampu milik. Kami membina kereta bersesuaian geografi serta rupa bumi India,”
Kereta ‘made-in-India’ ini bakal bersaing bersama Mercedes-Benz EQC, BMW iX, Audi e-Tron 50 dan DEFY mempunyai matlamat untuk membuat sejuta kereta elektrik menjelang 2027.









