Buletin

DUCATI MALAYSIA LANCAR SUPERLEGGERA V4. HARGA RM888,000!!!

Ducati Malaysia hari ini melancarkan model baharu Superleggera V4 untuk pasaran tempatan di Ducati Flagship Showroom, Petaling Jaya.

Jentera terbaharu itu terhad kepada 500 unit di seluruh dunia didatangkan pada harga RM888,000.

Dalam majlis pelancaran berkenaan, Ducati turut menyerahkan jentera pertama Superleggera V4 kepada Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin. Jentera Nazir didatangkan dengan nombor pengenalan 210/500.

Superleggera V4 hadir dengan pelbagai teknologi terkini dan berkuasa dibangunkan menggunakan gentian karbon pada kerangka, sub-kerangka, roda dan lengan ayun.

Bahkan, motosikal dari Itali ini turut menggunakan bahan seperti titanium dan solid aluminium pada komponen sekali gus memastikan ia hanya mempunyai berat kering 159 kg sahaja.

Dengan menampilkan rekaan berwarna merah dan karbon, Superleggera V4 juga lebih ringan 16 kg berbanding Panigale V4.

Motosikal terbaharu ini mendapat khidmat enjin Desmosedici Stradale V4 bersesaran 988cc yang mampu menjana kuasa 224hp.

Begitupun, dengan padanan ekzos akrapovic versi trek dan kit perlumbaan kuasa tersebut boleh mencecah sehingga 234 hp.

Penampilan Superleggera V4 diserlahkan lagi dengan wing aerodinamik gentian karbon yang memberikan downforce sehingga 50kg pada kelajuan 270km/j.

Dari segi pengendalian pula,  Superleggera V4  hadir dengan fork bertekanan dan penyerap hentak tunggal titanium daripada Ohlins, manakala sistem brek menggunakan set Brembo angkup Stylema R. 

Ia turut didatangkan sistem paparan RaceGP diinspirasikan daripada Desmosedici GP20

Superleggera V4 dilengkapi pakej elektronik baharu EVO2 bagi Ducati Traction Control (DTC) serta Ducati Quick Shifter (DQS).

Google ads
Back to top button