Buletin

PROTON BAKAL LANCAR SAGA DI BANGLADESH DAN MESIR. PERKENAL X50 DI BRUNEI

PROTON dijangka melancarkan model Saga ke pasaran Bangladesh dan Mesir  secara dalam talian pada Disember 2020. Pelancaran model sama juga akan dibuat di Nepal sebelum tahun ini menutup tirainya.

Pengeluar kereta nasional itu mengakui aktiviti eksport terjejas akibat pandemik COVID-19 kerana setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi masalah tersebut.

Namun begitu, usaha kakitangan serta sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan membantu PROTON untuk kembali ke hala tuju yang betul.

Jadi, dalam masa beberapa minggu lagi, PROTON akan mengumumkan permulaan aktiviti pemasangan tempatan serta jualan di Kenya dan Pakistan, selain jualan Proton X50 di Brunei.

Sejak aktiviti eksport dimulakan pada tahun 1989 dengan Proton Saga, lebih 405,267 unit kenderaan PROTON telah dieksport ke seluruh dunia.

November lalu mencatatkan pertumbuhan eksport sebanyak 10.6 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Menerajui pasaran tempatan masih menjadi salah satu sasaran kami. Tetapi pada masa yang sama, amat penting bagi jenama Proton membina nama di pasaran antarabangsa kerana ia mewakili syarikat dan Malaysia.

“Objektif ini dinyatakan dengan jelas dalam rancangan 10-tahun kami yang telah dibentuk pada permulaan kerjasama strategik bersama Geely,” kata Pengerusi PROTON Holdings Berhad, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

Google ads
Back to top button