Motosikal

DUCATI MONSTER 821 DINAIK TARAF – TANGKI MINYAK, PANEL TFT DAN LAMPU BELAKANG BAHARU

Sedar tak sedar, sudah 25 tahun Ducati menghasilkan model popularnya, Monster. Sejak itu lebih 300,000 unit Monster telah dihasilkan dan berjaya mencipta kelompok pengikut yang ramai.

Kini, Ducati tampil dengan penambahbaikan untuk model Monster 821 bagi tahun 2018. Walaupun aspek teknologi, tunggangan dan kehalusan buatan diserapkan kepada Monster sejak tahun 1992, namun harus diakui bahawa reka bentuk ikonik Monster tidak banyak berubah.

Monster 821 tahun 2018 menyaksikan perubahan ketara yang membuatkan jurang dengan varian berkapasiti enjin lebih besar dan mahal semakin rapat. Jentera itu didatangkan dengan ciri mewah seperti papan meter TFT warna sepenuhnya. Sekali gus menyamai ciri yang ada pada model Triumph Street Triple R dan RS.

Sekali pandang, kita mungkin tidak perasan dengan perubahannya. Tetapi jika diletakkan model tahun 2017 dan 2018, anda akan dapat lihat model baharu lebih kemas dengan tangki serta bahagian belakang yang telah direka semula.

Naked tersebut juga dipasang dengan peredam, lampu utama dan perehat kaki pembonceng yang baru. Lebih menarik lagi, panel TFT itu sekarang mempunyai indikator kedudukan gear dan takat bahan api.

Monster 821 bagaimanapun masih menggunakan enjin Testastretta 11° dengan sistem penyejukan cecair. Enjin yang mematuhi piawaian emisi Euro4 itu mampu menghasilkan kuasa 107bhp dan tork 86Nm pada 7,750rpm.

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, ia hadir dengan Ducati Safety Pack yang merangkumi sistem Bosch ABS 3 peringkat dan Ducati Traction Control 8 peringkat. Di samping tiga mode tunggangan dan kuasa.

Penunggang juga boleh menaik taraf kepada Ducati Quick Shifter untuk penukaran gear yang lebih pantas.

Monster 821 dijangka berada di pasaran Eropah bermula Disember 2017. Harganya bermula £9,895 (RM55,300) untuk warna merah. Jika hendak warna hitam dan kuning, harganya ialah £10,095 (56,400) seunit.

Google ads
Back to top button