Buletin

JPJ LANJUT DISKAUN 70% BAYARAN SAMAN SEHINGGA 30 SEPTEMBER INI

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan tempoh pembayaran diskaun 70 peratus yang ditawarkan bagi bayaran saman dikeluarkan JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sehingga 30 September ini.

Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ, Mohamad Yatim Nawawi, berkata tempoh pembayaran yang berakhir pada 31 Ogos lalu dilanjutkan sebulan.

Beliau berkata, sambutan ke atas tawaran diskaun itu begitu menggalakkan sehingga menyebabkan semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) penuh sesak.

Mohamad Yatim menyarankan orang ramai mengambil peluang tempoh lanjutan sebulan diberikan itu bagi menyelesaikan pembayaran saman masing-masing

Diskaun 70 peratus bayaran saman itu adalah sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Ia merangkumi saman dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

“Selain pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, orang ramai juga boleh membuat pembayaran di portal mySIKAP JPJ, kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

“Bagi kesalahan disenarai hitam pula, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dilakukan,” katanya.

Lanjutan diskaun tersebut merupakan keprihatinan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi membantu rakyat ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). –Berita Harian

Google ads
Back to top button