Artikel Pilihan

e-AWD VOLVO, PAKAI BATERI & MOTOR ELEKTRIK. KALAU BATERI HABIS JADI 2WD?

3 tahun lepas, kami pernah mengeluarkan artikel bagi menerangkan perbezaan antara sistem 4×4 yang digunakan oleh trak pikap dan juga AWD yang digunakan oleh SUV/crossover. Walaupun dari mata kasar dua-dua sistem memacu empat tayar sekaligus untuk bergerak, sistem mekanikal yang digunakan adalah berbeza.

Sistem 4×4 menggunakan “transfer case” bagi membenarkan pemandu memilih samaada untuk menggunakan pacuan 2 roda kelajuan tinggi (H2), pacuan 4 roda gear tinggi (H4) dan juga pacuan 4 roda gear rendah sewaktu memasuki laluan mencabar (L4). Sistem AWD pula menggunakan “center differential” yang berasaskan sistem klac dan ECU akan menentukan berapa banyak kuasa dihantar kepada 4 tayar.

Berbeza dengan sistem 4×4, sistem AWD tidak membenarkan pemandu memilih mode pemanduan samaada 2WD atau AWD. Mitsubishi Triton pula datang dengan ciri 4H yang membenarkan pemandu menggunakan mode pacuan 4 roda di atas jalan raya disebabkan ia dilengkapi dengan viscous coupling dan center differential

BMW pula tampil dengan satu sistem lain yang menggabungkan sistem 4×4 dan AWD dalam satu unit dikenali sebagai BMW M xDrive. Transmisi 8 kelajuan dipasang dengan transfer case dan juga AWD bagi membolehkan pemandu memilih mana-mana mode pacuan yang disukai. Anda sudah pening?

Tahniah kerana kami akan memperkenalkan satu istilah baru kepada anda iaitu eAWD yang dipopularkan oleh Volvo. Bagi SUV Volvo seperti XC60 dan dan juga XC90, ia akan dikuasakan dengan pilihan T8 Twin Engine yang dilengkapi dengan turbo, supercaj dan juga sistem hibrid plug-in PHEV. Enjin ini menghasilkan 316 kuasa kuda dan 400Nm tork

Semua kuasa enjin akan dihantar kepada tayar depan menerusi transmisi 8 kelajuan yang dihasilkan oleh Aisin. Roda belakang pula dipasang dengan satu motor elektrik 87 kuasa kuda dan 240Nm tork. Tiada langsung sambungan mekanikal antara roda depan dan belakang seperti sistem AWD atau 4×4 yang biasa.

Namun roda belakang yang dikawal oleh ECU boleh bekerja dengan bebas bagi berfungsi sebagai pacuan semua roda AWD dan digelar eAWD. Kuasa elektrik untuk motor dihantar daripada bateri ion lithium sebesar 11.6kWh yang boleh dicaj menerusi soket kuasa elektrik, dicaj oleh enjin atau dicaj menerusi brek regeneratif.

Bateri ini juga datang dengan sistem penyejukan yag berasingan daripada enjin. Gabungan kuasa enjin dan juga motor elektrik ini menjana sehingga 400 kuasa kuda dan 640Nm tork. Ini membenarkan XC90/XC60 dipandu sejauh 50km dalam mode EV, berfungsi sebagai kenderaan hibrid dan juga sebagai eAWD.

Cecair penyejuk khas untuk bateri hibrid

Persoalan yang timbul ialah, adakah XC90 akan menjadi sebuah 2WD apabila baterinya habis digunakan ketika offroad manja-manja? Secara umum, bateri lithium ion datang dengan kapasiti yang membenarkan bateri digunakan sehingga 80% daripada kuasa asal. Bateri akan dikawal oleh ECU bagi mengelakkannya habis terus sehingga 0%.

Tak percaya, cuba tengok telefon dan komputer riba atau apa sahaja peranti elektronik yang anda guna dan dikuasakan oleh bateri lithium ion. Sekiranya bateri kurang 20%, sistem amaran akan diberikan mengingatkan anda agar mengecaj bateri secepat mungkin, tujuannya ialah agar bateri tidak tinggal 0%.

Jika bateri menjadi 0% dengan kerap, ia akan menjadi rosak dengan cepat dan kenderaan EV ada mekanisme pengunci yang akan diaktifkan jika bateri kurang 20% atau membahayakan battery health. Bagi mengelakkan situasi di atas sistem hibrid Volvo datang dengan 2 ciri tambahan agar ia sentiasa boleh beroperasi dalam mode eAWD. Ciri ini termasuklah

1. Hold – jika diaktifkan, ia akan memastikan XC90/XC60 beroperasi dalam mode hibrid TAPI pada kebanyakan masa enjin akan diaktifkan. Tujuannya ialah agar kuasa bateri boleh digunakan pada mode EV sepenuhnya kemudian. Sebagai contoh anda memandu di lebuh raya, dan bercadang menggunakan EV di laluan bandar

2. Charge – akan diaktifkan secara automatik apabila bateri mencapai tahap tertentu dan kuasanya berkurang. ECU akan menghantar isyarat kepada enjin untuk mengecaj bateri untuk digunakan pada lain waktu. Fungsi ini akan dimatikan secara automatik apabila kuasa bateri telah penuh

Pendek kata sistem ECU akan menghalang bateri daripada flat out dan habis kuasanya secara automatik dengan fungsi charge. Sebagai contoh terdapat seorang pemilik memandu uji Volvo XC60 sejauh 3.2 kilometer tanpa kehabisan bateri. 3.2 kilometer mungkin tidak jauh, tapi laluan yang dipilih olehnya sangat mencabar, berbatu, dan mendaki cerun sehingga 20%.

Sebuah lagi Volvo XC90 dipandu uji mendaki laluan berbukit dengan permukaan berbatu yang licin dan basah. Berbeza dengan XC60 dalam video di atas yang menggunakan tayar offroad (mungkin tayar MT Goodrich), XC90 dalam video ini hanya menggunakan tayar biasa dan kadang-kala kehilangan cengkaman di atas permukaan licin. Ketika pemandu sedang membetulkan posisi kamera, dia perasan bahawa kapasiti bateri kembali kepada 100% dalam masa yang singkat.

XC90 dan XC60 juga diberikan 2 mode pemanduan tambahan bagi memudahkan pemandu melalui permukaan jalan yang mencabar iaitu mode Offroad dan mode Constant AWD. Offroad mode akan memberikan jarak kelegaan bumi yang tinggi dengan air suspension dinaikkan kepada tinggi maksimum, stering diringankan dan Hill Decent Control akan diaktifkan secara automatik

Mode ini hanya sesuai bagi pemanduan perlahan sehingga halaju maksima 40km/j. Sekiranya dipandu laju, mode ini akan dibatalkan dan digantikan dengan mode Constant AWD. Enjin dan motor elektrik akan digunakan secara serentak, paparan meter akan menunjukkan arah kompas, respon throttle menjadi sedikit lembut dan sistem AWD akan diaktifkan sepanjang masa

Bagi mode Constant AWD, tork akan dihantar antara roda kira dan kanan oleh enjin (roda depan) dan motor elektrik (roda belakang) bagi memberikan cengkaman terbaik, kestabilan atas permukaan licin dan sesuai digunakan bagi menunda beban di belakang. Ia boleh diaktifkan pada bila-bila masa tanpa mengambil kira kuasa bateri yang ada. Sistem AWD akan diaktifkan sepanjang masa dalam mode ini.

Sekiranya kedua dua mode tidak diaktifkan, XC90 atau XC60 akan beroperasi dalam mode hibrid dimana ECU akan memilih mana-mana punca kuasa yang sesuai untuk pemanduan samaada daripada motor, enjin atau gabungan kedua-duanya. Sistem AWD akan diaktifkan secara automatik sekiranya ia mengesan permukaan jalan menjadi licin dan cengkaman tambahan diperlukan

Google ads
Back to top button