Buletin

TOYOTA PERKENAL SUPRA GT4 UNTUK TUJUAN PERLUMBAAN

Toyota Gazoo Racing telah memperkenalkan kereta lumba Supra GT4 versi produksi yang dijangka menyertai pelbagai perlumbaan pada tahun 2020. 

Dibina berasaskan kepada konsep Supra GT4 yang dipertontonkan pada acara Geneva Motor Show 2019 Mac lalu, penawaran jentera lumba itu merupakan sebahagian daripada usaha Toyota untuk mengukuhkan fokus kepada pelanggan sukan bermotor. 

Jentera GT4 dilihat lebih hampir dengan kereta jalanan biasa berbanding model dalam kelas GT yang lain. Ini membuatkannya lebih mampu milik dan boleh dibeli oleh pasukan-pasukan lumba persendirian. 

Supra GT4 menerima banyak bentuk penambahbaikan dengan spesifikasi sukan bermotor.

Antaranya ialah roll cage, komposit gentian semula jadi pada splitter hadapan dan wing belakang, tangki minyak spesifikasi perlumbaan dengan sistem isian semula lebih pantas serta tempat duduk standard FIA untuk pemandu. 

Jentera itu juga dipasang dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibalut tayar trek Pirelli, sistem ekzos Akrapovic dan pelincir mekanikal daripada Ravenol. 

Sama seperti model Supra konvensional, Supra GT4 dikuasakan oleh enjin enam selinder sebaris 3.0 liter yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan pacuan roda belakang. Perincian mengenai kuasa Supra GT4 bagaimanapun tidak didedahkan. 

Supra GT4 merupakan kereta lumba terbaharu yang dihasilkan daripada model sports coupe popular Toyota itu.

Sebelum ini, Toyota telahpun menghasilkan Supra versi Nascar dan Super GT yang dijadual menyertai kelas Japan GT500. 

Toyota akan mengumumkan harga, lokasi jualan, spesifikasi penuh pada hujung tahun ini.   

GALERI

Google ads
Back to top button