Buletin

PERCAYALAH, KUNCI KERETA INI LEBIH MAHAL BERBANDING ROLLS-ROYCE, RM2.3 JUTA!

Sama ada kita sedar atau tidak, kunci kenderaan banyak mengalami evolusi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Biarpun begitu, kunci tidaklah terlalu diberi perhatian sewajarnya.

Biasanya, kunci kereta hanya akan diberi perhatian maksimum apabila ia hilang atau habis bateri.

Kini, sebuah syarikat Awain mahu mengubah keadaan itu dengan memperkenalkan kunci paling mahal di dunia yang eksklusif untuk supercar. 

Direka untuk menggantikan kunci yang membosankan, kunci Awain dihasil menggunakan tangan di Finland oleh sepasukan pakar, terdiri daripada pembuat jam, tukang emas dan jurutera mekanikal. 

Proses untuk menghasilkan sebuah kunci mengambil masa di antara 100 hingga 300 jam.

Pelanggan boleh menempah tiga jenis kunci berbeza dengan varian paling mampu milik dikenali sebagai Quantum. Mampu milik pun harganya bermula €49,000 (RM228,00), jauh lebih mahal berbanding kereta-kereta biasa. 

Kunci tersebut menampilkan bahagian dalaman yang diperbuat daripada kulit atau kayu yang dikelilingi oleh emas 18 atau 24 karat. Kunci itu turut ditatah dengan 354 butir berlian seberat 3.45 karat.

Varian Serenity yang bersaiz besar pula ditawarkan pada harga bermula €89,000 (RM414,000). Ia memiliki 1,250 butir berlian seberat 20 karat.

Jika anda sukakan sesuatu yang bling-biling, pilih sahaja varian Phantom yang berharga €500,000 (RM2.3 juta), hadir dengan berlian seberat 34.5 karat.

Kunci tersebut tidaklah ditawarkan kepada pemilik Vios mahupun City, tetapi buat senarai jenama kereta mewah seperti Aston Martin, Benley, Lamborghini, Maserati, McLaren, Mercedes, Porsche dan Rolls-Royce.

Audi dan BMW tidak disenaraikan, tetapi Awain kata para pemilik boleh menghubungi pihaknya dan akan membantu jika boleh. 

“Harga kunci ini mungkin kedengaran gila. Sebagai seorang peminat tegar kereta, saya percaya kereta terbaik di dunia berhak untuk mempunyai kunci yang terbaik juga.

“Lagipun, para pemilik supercar sentiasa mahukan kemewahan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Awain, Jalmari Mattila.

Google ads
Back to top button