Artikel Pilihan

FERRARI AKAN TERUS HASILKAN ENJIN V12 SEHINGGA IA DIHARAMKAN – JANGAN LA HARAMKAN TERUS

Kalau dilihat pada nama model terbaru mereka: 12Cilindri, kami yakin Ferrari masih berpegang teguh pada prinsip mereka untuk kekal hasilkan enjin V12. Sudah tentu model terbaru mereka ini bukan penghujungnya dan mereka tetap akan keluarkan model-model dengan enjin V12 sehingga ianya diharamkan. Harap jangan sampai macam tu. Lagi Lagi supercar macam Ferrari ni bukannya banyak sangat bilangannya.

Hal ini dijelaskan oleh Ferrari dalam satu temubual dengan Car Expert dari Australia. Ferrari juga berharap akan ada kelonggaran untuk enjin ICE khususnya V12 mereka dan kemungkinan ia akan dikuasakan petrol baharu yang lebih mesra alam sekitar.

Enjin terbaru mereka yang dipasang pada 12Cilindri Coupe dan Spider berputar pada 9,500 rpm tapi secara teknikalnya ia mampu mencecah 10,000 rpm. Had putaran yang lebih rendah dipilih bagi memaksimakan hantaran kuasa sekaligus mengelakkan kehilangan sensasi sewaktu memecut.

Mereka turut menyatakan yang Ferrari merupakan syarikat pertama yang mementingkan sasaran 10,000 rpm dicapai untuk enjin keluaran mereka. Tapi mereka sebenarnya masih belum mampu menyaingi enjin paling tinggi putaran yang pernah dipasang pada kereta jalanan biasa. Rekod tersebut dipegang oleh Gordon Murray Automotive T.50 dengan 12,100 rpm. Tempat kedua milik Aston Martin Valkyrie dengan 11,100 rpm dan diikuti Ariel Atom V8 dengan 10,600 rpm.

Sebelum ini Chief Design Officer Ferrari, Flavio Manzoni menyatakan yang enjin V8 berkuasa turbo adalah lebih baik dari segi prestasi tapi perlu diingat yang enjin V12 ini memberikan sentuhan emosi yang lebih hebat berbanding enjin V8 yang bersaiz lebih kecil.

Walaupun enjin V12 masih mempunyai pengikut yang ramai, Ferrari menjangkakan angka jualannya akan menurun sebaik model EV pertama mereka diperkenalkan menjelang tahun 2025.

Menjelang penghujung dekad ini mereka berhasrat untuk menjual 40 peratus EV dari pengeluaran keseluruhan. 40 peratus lagi disasarkan untuk model hibrid dan baki 20 peratus ia model ICE sepenuhnya. Iya ke tu? Silap-silap yang beli model ICE jauh lagi besar dari model EV.

Google ads
Back to top button