Buletin

FERRARI BERI AMARAN ADA PANGGILAN SEMULA PALSU DI AFRIKA SELATAN

Ferrari memberi amaran kepada pelanggannya di Afrika Selatan tentang satu penipuan yang kini berlaku di negara tersebut. 

Menurut  Scuderia South Africa, penjenayah menyamar sebagai pengedar Ferrari dan menghubungi pemilik  Ferrari memberitahu yang kereta mereka terlibat dalam kempen panggilan semula. Jika pemilik terpedaya, mereka akan menghantar sebuah trak ke rumah mangsa dan mengambil kereta berkenaan. 

Amaran itu dikeluarkan selepas sebuah 812 Superfast dicuri menggunakan modus operandi ini di kawasan Ranburg, dekat dengan Johannesburg. Jentera itu bagaimanapun kemalangan ketika dipandu oleh pencuri di Lebombo, berhampiran sempadan Mozambique. 

“Jika ada panggilan semula atau kempen servis, ibu pejabat Ferrari tidak akan menghubungi anda dan terus mengambil kereta. Jika anda menerima panggilan daripada seseorang yang disyaki bukan kakitangan Ferrari, sila hubungi pengedar untuk mengesahkannya,” tulis Scuderia South Africa di laman Facebook rasminya. 

Ferrari mempunyai tiga pengedar di Afrika Selatan yang terletak di Bryanston, Cape Town dan Durban. 

Afrika Selatan bukanlah pasaran besar buat Ferrari. Berdasarkan kepada data jualan terkini, Scuderia South Africa sudah menjual 59 unit kenderaan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2018. 488 Spider menjadi model paling popular, diikuti oleh 812 Superfast. 

Google ads
Back to top button