Buletin

FERRARI ROMA RM1.03 JUTA JATUH LIF – BAHAGIAN BELAKANG REMUK HABIS. NAYA PAK KARIM!

Sebuah kereta Ferrari Roma berharga AS$243,360 (RM1.03 juta) dilaporkan telah terjatuh dari lif. Kemalangan tersebut berlaku di pusat pengedar, Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat.

Foto dari tempat kejadian menunjukkan Ferrari Roma itu tergantung di bahagian lif dan pihak bomba dari Palm Beach County mengakui sukar untuk mengeluarkan kereta tersebut.

Pasukan bomba terpaksa mengurangkan kebocoran bahan api pada kereta sports berkenaan yang dijana oleh enjin 3.9 liter turbo berkembar V8 berkuasa 612hp.

Kemudian, barulah Roma tersebut dikeluarkan dari lif yang mengambil masa lebih kurang empat jam. Meskipun Roma agak ringan iaitu sekitar 1,569kg, tetapi untuk mengeluarkan sebuah kereta dari lif ia bukan kerja yang mudah.

Selepas berjaya dikeluarkan, kelihatan agak mustahil untuk kereta itu dibaiki kerana hampir seluruh bahagian belakangnya remuk dan terdapat kerosakan besar pada bumbung.

Tetapi, jika ada yang berminat untuk membeli Roma ini pada harga murah, mungkin ia boleh dijual untuk alat ganti.

Pengedar mungkin boleh menarik nafas lega kerana hanya ada sebuah Roma di dalam lif. Ini kerana di bahagian bawah tempat di mana kemalangan itu berlaku, terdapat beberapa buah kereta Ferrari yang lain termasuklah Daytona SP3 yang bernilai AS$2.2 juta (RM9.3 juta).

Google ads
Back to top button